Berita

Perbelanjaan PM melampau, kerajaan dinasihat ubah gaya hidup

TAIPING, 8 OKTOBER: Kerajaan dinasihat berjimat dan berhemah dalam perbelanjaan mereka sebelum terlewat memandangkan lonjakan hutang negara kini mencecah RM516.3 bilion, tertinggi dalam sejarah negara.

Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming dalam kenyataan medianya berkata, gesaan itu dibuat berdasarkan jawapan Parlimen dan Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan trend pembaziran dan penyelewengan yang membimbangkan.

“Kerajaan telah menanggung RM100.47 juta untuk pesawat peribadi Perdana Menteri untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Jumlah besar itu, menurut Kor Ming, sebanyak RM86.4 juta dibelanjakan bagi kos sewa pesawat jet dalam tempoh tiga tahun bermula daripada 2010, RM16.515 juta untuk penyelenggaraan manakala RM3.32 juta bagi kos penambahbaikan jet tersebut.

“Selain itu, kerajaan juga menanggung kos RM44.02 juta untuk membiayai kos lawatan luar negara Perdana Menteri sejak 2008,” jelasnya.

Perbelanjaan Perdana Menteri itu, katanya, jelas jauh berbeza dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

“Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hanya menaiki Singapore Airline ketika membuat lawatan luar Negara dan ini menjimatkan jutaan wang.

“Begitu juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga sentiasa memilih kelas ekonomi semasa membuat lawatan kerja. Teladan baik ini harus dicontohi,” kata Penolong Bendahari DAP Kebangsaan itu.

Kor Ming berkata, mengenai peruntukan belanjawan tambahan yang dibuat dua kali di Parlimen yang mencerminkan kegawatan kerajaan menguruskan kewangan negara.

“Bukan rakyat sahaja kena berjimat-cermat, kerajaan juga kena tukar cara hidup,” katanya lagi.-Roketkini.com