Berita

PR akan jelajah seluruh negara, bantah GST – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER: Pakatan Rakyat (PR) akan menjelajah ke seluruh negara bagi menentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan kerajaan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, kempen sama seperti yang dilakukan pada 2010 harus dibuat sekali lagi supaya dapat mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai tu yang membuatkan rakyat miskin semakin menderita.

“Selepas forum ini, kami akan lancarkan ‘Kempen Bantah GST 2.0’, kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan rakyat mengenai bagaimana dan kenapa GST tidak diperlukan di Malaysia.

tony“Kita berharap ia akan memberikan tekanan agar kerajaan berfikir dua kali tentang usaha mereka untuk melaksanakan GST.

“Rakyat harus tahu bahawa apa yang diperkatakan kerajaan tentang GST tidak sepenuhnya benar dan tepat,” katanya ketika berucap dalam Forum GST: Cure or Addiction, semalam.

Rang Undang-Undang GST dibentangkan kali pertama pada 2009 , namun ditarik balik semasa bacaan kali kedua selepas menerima tentangan dari PR.

GST kini diramalkan akan diperkenalkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, 25 Oktober ini.

Hadir sama menyampaikan ucapan dalam forum itu ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut menegaskan bahawa GST adalah cukai regresif dimana masyarakat miskin akan menerima kesan paling teruk dengan peratusan lebih tinggi dari pendapatan mereka.

“Skim GST memerlukan perkhidmatan yang lebih besar jika kerajaan mahu melaksanakannya, manakala pemilik perniagaan juga perlu berbelanja lebih dalam sistem kutipan cukai baru.

“Saya telah mengemukakan soalan di Parlimen mengenai kos tambahan yang akan terpaksa ditanggung kerajaan untuk GST. Kos tambahan ini melibatkan sistem kutipan cukai dan bayaran balik serta senarai barangan yang dikecualikan daripada cukai

“Kos sebenar mengekalkan perkhidmatan awam, mungkin melebihi RM1.3 bilion. Jadi jelas, GST ini bukan penyembuh tapi cuma ubat sementara seperti ‘panadol’ yang dapat menghilangkan pening dalam jangka masa pendek tapi tidak akan dapat menyembuhkan penyakit kanser,” tegasnya.

Julai lalu, Fitch Ratings menurunkan taraf unjuran kredit Malaysia kepada negatif berikutan kelemahan dan kegagalan kerajaan mengurus kewangan negara.

Beliau turut mengambil contoh negara Greece yang gagal mengatasi masalah kewangan sekalipun mengambil langkah memperkenalkan GST pada kadar 23 peratus.

“Lebih banyak cukai dikutip, lebih banyak ketirisan akan berlaku.

“Kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih berkesan seperti mengurangkan pergantungan pembiayaan liabiliti luar jangka, mengamalkan tender terbuka serta meningkatkan ketelusan di semua peringkat proses belanjawan untuk memerangi rasuah,” ujarnya. -Roketkini.com