Berita

Penghakiman isu kalimah Allah wajar dirayu – Karpal

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER: DAP hari ini mahu kerajaan memberi penjelasan lanjut berhubung pengharaman penggunaan perkataan Allah oleh majalah mingguan Katolik, The Herald baru-baru ini untuk mengelakkan sebarang ketegangan antara agama.

Menyifatkan pengharaman itu sebagai tidak mengikut perlembagaan, Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh menyeru peguam The Herald untuk menggunakan Peraturan 61 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan, 1995.

“Mereka boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara, Malaysia bagi pendengaran segera rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Karpal, panel hakim juga perlu terdiri dari kalangan orang Islam dan bukan Islam untuk mengelakkan sebarang isu lain yang mungkin berbangkit.

“Ia juga mesti melibatkan Ketua Hakim Malaya dan Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, Malaysia,” ujarnya lagi.

Membangkitkan kebimbangan, Karpal berkata perkara ini telah membawa kepada kegusaran dan persoalan baru dikalangan penganut agama Sikh.

“Tiada lagi keraguan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan ini mungkin akan turut memberi kesan kepada penggunaan perkataan Allah yang tertulis dalam kitab Sikh sebanyak 37 kali.

“Oleh demikian, penganut Sikh perlu diberi jaminan bahawa mereka tidak akan terjejas dengan keputusan mahkamah ini,” ujar beliau.-Roketkini.com