Rencana

Malaysia pada tahun 2030 – Oleh Liew Chin Tong

Barangkali perspektif baru diperlukan ketika membincangkan isu yang terpampang di depan mata pada tahun 2013, dengan membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku pada tahun 2030.  Padahal, PM ke-5 Abdullah Ahmad Badawi dan PM ke-6 Najib Razak terlepas peluang untuk mereformasikan ekonomi dan politik ketika zaman pemerintahan mereka.  Begitu juga dengan Wawasan 2020, impian yang semakin jauh untuk digarap jikalau diteliti situasi yang membelenggu kita pada hari ini.

Kita tidak bergantung kepada Barisan Nasional sahaja ketika membincangkan masa depan Malaysia pada era pasca PRU13.  Pakatan Rakyat dan rakyat sendiri perlu dirujuk untuk memperluaskan lingkungan perbincangan ini.

malaysian flagPopulasi Malaysia dijangka melonjak sejajar dengan pertambahan populasi dunia, melainkan sesuatu yang tidak terduga berlaku.  Purata usia meningkat seiring dengan peningkatan kadar jangka hayat.  Dengan kata lain, penuaan populasi akan berlaku.  Maka keperluan populasi yang bertambah ini wajar dibincangkan secara terperinci, dengan mengambil kira keperluan makanan, perumahan, pengangkutan, air, tenaga, perubatan dan rawatan, pendidikan dan sebagainya.

Namun demikian, pendekatan kerajaan BN mengendalikan bekalan tenaga dan air lebih dilihat sebagai perebutan untuk membina lebih kemudahan air, daripada untuk memenuhi permintaan masa depan.  Malah, saya menganggap padahalnya ia lebih merupakan permintaan kroni.

Sistem pengurusan bekalan air yang berasaskan penggunaan semata-mata tidak berkekalan tanpa usaha pemuliharaan air untuk jangka panjang.  Pertambahan populasi menjurus kepada permintaan tanpa batas, meskipun kita sedar bahawa sumber bumi amat terhad.

Pada dasarnya, usaha pemuliharaan air bertujuan untuk menguruskan permintaan jangka panjang.  Jikalau dilihat dalam konteks pertikaian bekalan air di negeri Selangor – persoalannya, apakah benar rakyat dimanfaatkan melalui sumber air baru yang diwujudkan dengan projek seperti pemindahan air Pahang-Selangor?  Atau apakah projek infrastruktur sedemikian sekadar sumber rezeki untuk kontraktor lantikan kerajaan persekutuan?

Sebaliknya, kerajaan yang berpandangan jauh harus berusaha untuk mengurangkan peratusan air-tidak-terhasil (non-revenue water, iaitu sumber air yang kehilangan lantaran kebocoran paip, kecurian atau tumpahan) daripada 35% kepada 15% sekurang-kurangnya, iaitu penanda aras yang ditetapkan di Pulau Pinang – selain pelaksanaan strategi pemuliharaan air yang lain.

Begitu juga dengan pengurusan bekalan tenaga, kita perlu memikirkan hal ini dari sudut pandangan pengurusan permintaan.  Ini kerana kesan pemanasan global dijangka meningkat menjelang tahun 2030.  Pemuliharaan sumber dan pengurangan pelepasan karbon menjadi langkah yang gagal dielakkan, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Dan masanya tiba untuk kita mengkaji semula pengangkutan dan perancangan bandar – seandainya kita tidak berhasrat untuk menjadikan lebuh raya kita sebagai medan letak kereta terbesar di dunia.  Dengan kata lain, membina lebih banyak jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik.

0_-13Urban sprawl, atau rebakan pinggir bandar semakin menular apabila pemaju perumahan terus mengembangkan kawasan sempadan bandar.  Harga rumah yang tinggi mendadak telah memaksa penduduk untuk membeli rumah yang jauh dari pusat bandar.  Maka golongan ini akan menjadi mangsa ekonomi apabila harga minyak naik, lantaran sistem pengangkutan kita yang berorientasikan kenderaan persendirian.

Untuk sekian lama model pembangunan Malaysia berpusatkan ibu kota (KL-centric), dengan peminggiran negeri-negeri lain, terutamanya Sabah dan Sarawak.  Lebuh raya Utara-Selatan (yang dibina untuk kenderaan persendirian) telah mengurangkan penggunaan dan perancangan sistem keretapi.  Pekan yang sibuk dan meriah seketika dahulu dengan keretapi, kini menjadi sepi dan terpencil.

Kita mesti membina sistem pengangkutan awam nasional dengan kos tanggungan yang berpatutan.  Bas dijadikan keutamaan (dari segi kos yang mampu ditanggung), sementara sistem keretapi perlu diberi visi baru.  Sistem keretapi kita tidak banyak diperkembangkan sejak kemerdekaan, dan ia masih kekal sebagai rangkaian untuk menjalinkan utara-selatan, dengan cabang yang terhad ke bandar kecil dan pekan.

Kita semestinya berdepan dengan masalah makanan lantaran pertambahan populasi, lantas sektor pertanian perlu dipergiatkan.  Mutu dan kos sistem perubatan wajar diberi perhatian apabila penuaan populasi berlaku.  Kita harus peka dan sedar bahawa pendapatan rendah sekarang bakal mewujudkan warga emas yang miskin pada masa depan setelah mereka bersara, memandangkan bantuan kerajaan amat terhad.

Menilai tahun 2013 dengan membayangkan tahun 2030 akan membebaskan kita dari kepompong politik lama.  Malangnya kerajaan BN tidak bersedia untuk meninggalkan politik lapuknya.

Justeru itu, kita memerlukan pemikiran baru untuk memahami cabaran pada masa depan.  Kita akan melangkaui batas perkauman ketika memikirkan isu-isu di atas, dan kemudian membina masa depan dengan agenda kita bersama. (tamat)

*Liew Chin Tong ialah ahli parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP.  Beliau oleh dihubungi dengan [email protected]