Berita

Steven Sim cabar Ahli Parlimen MCA berdebat isu GST

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mencabar Ahli Parlimen MCA Labis, Chua Tee Yong berdebat secara terbuka mengenai keperluan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau mengemukakan cabaran itu berikutan kenyataan Tee Yong yang menyokong dan mendakwa GST ‘boleh mengagihkan semula kekayaan daripada golongan kaya kepada warga miskin kerana mereka yang berpendapatan tinggi tentunya akan membayar cukai lebih.

“Hujah Chua adalah salah dan tidak boleh diterima. Saya menggesa beliau menarik balik kenyataan itu, jika tidak, terbukti beliau sememangnya mahu mengelirukan orang ramai supaya menyokong agenda UMNO/BN agar meningkatkan lagi hasil amalan ekonomi kroni mereka.

“Jika Chua tidak bersetuju, saya mencabar beliau berdebat secara terbuka mengenai GST dan saya berbesar hati menyatakan mengapa ia tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut menggesa MCA dan BN mengambil pengajaran daripada Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014 yang menunjukkan dengan jelas bagaimana simpanan boleh dilakukan tanpa memerlukan GST.

Jelasnya, kenyataan Chua bukan sekadar salah tapi tidak berasas kerana yang paling terjejas jika GST diimplementasikan adalah isu rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Kajian Penang Institute jelas menunjukkan bahawa GST sebenarnya adalah cukai regresif.

“Berdasarkan siasatan perbelanjaan isi rumah 2010, perbelanjaan isi rumah dan mengambil kira pengecualian ke atas barangan keperluan mendapati bahawa rakyat berpendapatan bulanan purata RM30,815 membayar 1.56 peratus GSTI, manakala paling rendah pendapatan isi rumah dengan pendapatan bulanan purata RM605 membayar 2.62 peratus GSTI.

“Isi rumah tahap pertengahan dengan pendapatan kira-kira RM2,579 sebulan, membayar 3.07 peratus GSTI. Ia adalah jelas GST akan memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana lebih daripada berpendapatan tinggi,” tegasnya.

Selain itu, isi rumah yang akan terjejas dari segi membayar GSTI lebih tinggi adalah isi rumah tunggal, isi rumah muda (kurang dari 24 tahun), isi rumah bumiputera dan mereka yang bekerja sebagai kerani, pertanian dan perikanan.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang itu turut mengecam kriteria GST MCA yang mengecualikan usaha pembanterasan rasuah.

“Ia juga amat menarik apabila kriteria GST yang disebut Chua dan MCA tidak langsung mengandungi langkah membanteras rasuah dan menghentikan kebocoran.

“Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming baru-baru ini menganggarkan bahawa mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2012, kerajaan kehilangan RM6.5 bilion disebabkan pembaziran. Perlu diingatkan juga laporan itu hanya meninjau sebahagian kecil daripada operasi perbelanjaan kerajaan.

“Dengan GST pada kadar 7 peratus, kerajaan dijangka membawa masuk sebanyak RM7.5 bilion pendapatan mereka. Jumlah ini adalah remeh berbanding wang sia-sia dan hilang akibat urus tadbir teruk kerajaan dengan MCA merupakan sebahagian dari mereka,” ujarnya. -Roketkini.com