Berita

Zairil buat laporan polis telefon bimbitnya digodam

GEORGE TOWN, 4 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari baru-baru ini membuat laporan polis kerana telefon bimbitnya dipercayai digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Jalan Patani, George Town, semalam.

Zairil yang juga Pengerusi Interim DAP Kedah berkata, beliau menyedari masalah itu apabila teks mesej (SMS) melalui nombor telefon bimbitnya dihantar ke beberapa nombor yang tidak diketahui.

Menurutnya, kejadian itu mula disedari ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di Gurun, Kedah, Sabtu lalu.

“Pada kira-kira jam 7.45 malam, saya mula menerima kemasukan SMS dan panggilan yang bertanya siapa saya.

“Tidak lama kemudian seseorang individu menunjukkan SMS yang dihantar menggunakan nombor telefon saya.

“Saya percaya nombor telefon telah digodam kerana saya tidak pernah sama sekali menghantar SMS demikian,” katanya selepas membuat laporan polis.

SMS yang dihantar melalui nombor Zairil itu berbunyi ‘Saya adalah Melayu. Dan saya mengharapkan sokongan tuan-tuan untuk mengetuai DAP Kedah’.

Tegasnya, beliau tidak pasti berapa banyak SMS sudah dihantar tetapi menerima kira-kira 30 respon serta panggilan daripada nombor tidak dikenali.

“Sehingga hari ini, saya masih menerima panggilan daripada nombor yang tidak diketahui itu.

“Saya percaya beberapa individu tidak bertanggungjawab cuba mencipta masalah kepada Pakatan Rakyat (PR) seperti yang dilakukan terhadap Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar; Pengarah Pilihan Raya PAS Sungai Limau, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi minggu lalu,” ujarnya. -Roketkini.com