Berita

Usah diskriminasi wanita, sedia caruman khas untuk suri rumah

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa kerajaan lebih serius menangani masalah diskriminasi golongan wanita kerana golongan itu berperanan besar dalam memajukan ekonomi negara.

Dalam ucapan Perbahasan Bajet 2014 di Parlimen, Steven berkata, sehingga kini, kegagalan kerajaan membanteras budaya diskriminasi membabitkan gender menyebabkan golongan wanita negara ini dipinggirkan dalam banyak keadaan.

“Contohnya, ramai yang kata wanita tidak mahu bekerja selepas berkahwin kerana mahu mahu jaga suami dan anak. Tetapi daripada 155,600 wanita yang menganggur, 86.3 peratus tidak berkahwin dan bukan janda.

“Ini menunjukkan majoriti wanita yang tidak berada dalam pasaran kerja bukan kerana berkahwin tetapi kerana faktor lain seperti perbezaan gaji antara pekerja lelaki dan wanita, kekurangan peluang kenaikan pangkat dan suasana kerja yang tidak elok. Dalam kata lain, wujud diskriminasi di tempat kerja,” katanya.

Tambahnya, walaupun pada 2003 kerajaan melaksanakan projek perintis “Gender Responsive Budget” (GRB) yang diketuai oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk merapatkan jurang perbezaan dan membangunkan golongan itu, tidak ada satu pelaksanaan yang komprehensif dan serius.

“Dah 10 tahun. Walaupun ada pekeliling menyeru pelaksanaan GRB di semua agensi, kita masih belum nampak GRB dilaksana dengan komprehensif. Tiba-tiba Perdana Menteri pula kata nak buat Outcome-Based Budgeting (OBB). Itu tak apa, tapi apa pula jadinya dengan GRB and pengupayaan wanita sebelum ini?

“Fokus kementerian perlu kepada pengupayaan wanita, pengagihan sumber kerajaan secara keseluruhan secara adil seperti yang dituntut GRB dan bukan hanya memberi “handouts” kepada wanita. Pendek kata, apa yang wanita mahukan ialah keadilan, bukannya belas kasihan dan kebajikan (what women want is justice, not just charity),” kata Steven Sim.

Beliau turut mengkritik Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini kerana mengabaikan golongan ibu dan suri-rumah.

“Wanita di dalam kategori ini tidak menerima sebarang pengiktirafan, tiada insentif dan tiada keselamatan sosial.

“Saya sekali lagi minta, merayu agar Perdana Menteri tiru sahaja Belanjawan Pakatan Rakyat untuk menyediakan Caruman Sosial Wanita di mana kerajaan menyumbang RM600 setahun kepada golongan ini dan ditambah sumbangan daripada pasangan mereka sebagai jaringan keselamatan sosial kepada mereka,” tambahnya.-Roketkini.com