Rencana

Siapa cemburu ‘bromance’ PAS dan DAP? Oleh Izmil Amri

SUDAH lebih enam bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 berakhir. DAP berjaya merekodkan kemenangan paling bersejarah sejak penubuhannya pada 1966. Meskipun belum berjaya meragut takhta Putrajaya daripada pemerintahan United Malays National Organisation; DAP dan rakan Pakatan Rakyat daripada PAS dan KEADILAN telah memberi serangan hebat kepada parti terbabit, sehingga ia kini sekadar wujud sebagai sebuah kerajaan minoriti.

Kita pastinya masih terkenang saat-saat cemas tatkala pihak Pendaftar Pertubuhan bertandang tengah malam buta ke Ibu Pejabat DAP menghantar surat tidak mengiktiraf CEC, selain memberitahu bahawa ia tidak ada masalah jika DAP mahu menggunakan lambang roket bagi kempen pilihan raya.

Kita tentunya masih ingat kepada tindakan refleks daripada PAS dan KEADILAN yang bingkas membantu rakannya dalam DAP yang keributan dengan serangan jahat ROS yang menjadi pencacai UMNO itu.

Takkan kita sudah lupa dengan saat ketika di mana seluruh umat Malaysia berusaha menyampaikan kepada kawan bahawa ada kemungkinan DAP akan bertanding menggunakan logo PAS di Semenanjung dan logo KEADILAN di Sabah dan Sarawak.

Mana mungkin kita tidak ingat kepada grafik dan visual yang direka pada ketika hampir penamaan calon itu bagi menunjukkan pertautan DAP dan PAS, antara lain menggambarkan bahawa roket sudah benar-benar sampai ke bulan; serta maskot ‘Ubah’ yang dipakai dengan warna PAS dan KEADILAN.

PAS dan KEADILAN adalah rakan baik DAP. Ini semua orang tahu dan terima sebagai satu hakikat besar. Malah PAS dan DAP seakan punya ikatan yang istimewa. Seakan-akan ada ‘bromance’ antara satu dengan yang lain.

Yang tidak boleh terima hakikat ini hanyalah mereka yang cemburu dan giat mahu memporak-perandakan rumah tangga Pakatan Rakyat. Tidak cukup dengan rumah tangga dia yang sudah hancur luluh bercerai berai dengan pasangan yang curang dan anak pinak ditinggal tanpa haluan, rumah tangga orang lain yang aman damai juga mahu dihancurkan sekali.

Lalu timbullah polemik kewujudan PAS sebagai sebuah parti yang tertubuh dengan dasar keagamaan dan terpalit sekali dalam seruan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh supaya organisasi yang terbina atas asas agama dan kaum dibatalkan pendaftarannya. Berantakan lah sekalian yang rasa terhina dan tercabar dan serang menyerang pun bermula.

Yang nak bergaduh ni kenapa?

Kelakar sekali bila kita memikirkan politik PAS dan DAP yang semacam adik beradik tiri suka berkelahi. Sekejap-sekejap PAS siku kepala DAP. Di masa yang lain pula DAP gerengau muka PAS. Gerengau ini bahasa Utara, maksudnya ‘cakar’.

Tetapi puncanya sebab apa? Siapa dia yang termakan umpan supaya bergaduh ini?

‘Amaran 5 hari’ Pemuda PAS buat saya rasa semak perut, dan saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku. Melayan polemik ini secara berterusan adalah barangkali salah satu kerja paling sia-sia dalam sejarah PAS sepanjang ia bersama DAP dalam sebuah koalisi politik. Justeru saya dengan rendah hati merasakan ia perlu berhenti.

Karpal Singh, dengan personaliti yang sedemikian, tobat lahum tidak akan minta maaf mahupun mengakui apa-apa kesilapan pada pihaknya. Dia peguam yang sudah berpuluh tahun berdepan dengan ratusan hakim dan mencatat nama dalam sejarah undang-undang negara sebagai manusia yang tidak pernah berganjak daripada pendiriannya. Itukan asas pembelaan di mahkamah. Jika tidak salah, jangan sekali-kali mengaku salah.

Mahu Karpal minta maaf ini sebab apa? Apa yang boleh kita dapat daripada permohonan maaf Karpal? Putrajaya? Jongkong emas satu lori? Pahala?

Kelihatan jelas bahawa permainan yang paling popular hari ini ialah permainan emosi. United Malays National Organisation pun suka main permainan ini. Itulah dia yang menjadi modal utama untuk meraih sokongan pakcik dan makcik di kampung. Permainan ketakutan ‘bumi dipijak jadi milik orang’ dan kerisauan maruah dan ‘kesucian’ yang tercalar. Ini standard.

Yang kita di PAS dan DAP ini kenapa pula mahu ikut permainan ini? Tidakkah ada isu yang lebih ampuh untuk dijadikan andalan bagi kelangsungan politik jangka panjang?

Barangkali pasca PRU-13 semua pakat tepu belaka dan tidak boleh memikirkan apa benda baru yang boleh diusahakan demi kebaikan negara dan kepentingan rakyat. Ini satu penyakit yang lahir daripada sikap kita terhadap ‘kemenangan’ dan penerimaan rakyat terhadap koalisi oposisi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia. Ya, menang majoriti undi popular nasional itu pertama kali terjadi.

Maka selepas sudah menang, terus jadi buntu tak ada ide baru langsung perlu berbalah tentang soal yang tidak memberi faedah umum?

Apa jadi kepada soal kemiskinan rakyat, soal isytihar harta, soal ketelusan, keadilan sosial, melawan rasuah dan segala macam isu yang jauh lebih penting? Adakah rakyat mengundi Pakatan Rakyat supaya ia boleh selesa dan membuang masa bertelagah isu yang bukan sahaja sekadar tidak fundamental malah langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada awam?

Apa jadi kalau Karpal minta maaf?

Saya tidak pasti kalau dengan permohonan maaf Karpal itu keseluruhan wakil rakyat Barisan Nasional akan insaf, mengakui dosa dan lompat masuk mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat. Saya lebih tidak pasti kalau dengan tindakan Karpal menyebut maaf itu akan mengembalikan dana haram yang telah mengalir keluar negara serta menjadikan peratus hutang negara kepada KDNK jatuh dengan serta merta.

Isu besar negara juga tidak akan selesai dalam masa lima hari. Kita pastinya sedar akan hal ini.

Namun saya hairan apabila kata-kata seorang manusia boleh mengalihkan perhatian seluruh umat daripada perkara besar yang sedang dibicarakan di Parlimen. Malah turut jadi modal di lidah rasmi UMNO yang pastinya cepat melompat apabila ia melihat peluang untuk menerkam bangkai yang kita hidangkan. Kenapa rajin sangat bagi makanan kepada Utusan?

Polemik Karpal Singh ini seharusnya menjadi modal untuk PAS memperlihatkan dirinya sebagai sebuah parti yang boleh menggantikan UMNO secara lebih baik, dan bukannya menggantikan UMNO dengan erti kata mengambil tempat parti pemerintah itu sebagai parti yang beku dan buntu. Ironinya ialah apabila Karpal mencadangkan supaya parti berasaskan kaum dibatalkan pendaftaran, UMNO sedikit pun tidak gegar.

Dia sekadar ketawa melihat perkembangan PAS dan DAP sambil dengan sengaja mencurah minyak ke api melalui media tradisional yang dikawalnya dan menyaksikan kita semua terbakar.

Inilah dia makhluknya yang benar-benar cemburu dengan kisah kasih sayang PAS dan DAP, dan akan sampai ke akhir zaman berusaha untuk memisahkan keduanya. Dia letak juga balaci-balacinya di kedua-dua parti untuk menjadi batu api. Inilah dia musuh yang terang nyata.

Pergilah bergaduh dengan musuh yang terang nyata ini. Kenapa buang masa bikin kecoh soal kecil yang tidak beri keuntungan kepada koalisi? Takkanlah tak ada ide baru. – Roketkini.com