Berita

Naikan cukai taksiran: Menteri Wilayah digesa dapatkan nasihat Tan Sri Elyas Omar

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib disarankan mendapatkan nasihat daripada Tan Sri Elyas Omar mengenai cara mentadbir bandaraya itu tanpa perlu menaikkan cukai taksiran.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berkata, nasihat Elyas amat diperlukan berlandaskan perilaku tidak bertanggungjawab Tengku Adnan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan yang membebankan penduduk.

Menurutnya, kenaikan yang dicadangkan DBKL itu mendapatkan bantahan warga kota, bukan sahaja kerana peningkatan mendadak yang tidak boleh diterima tapi tiada alasan kukuh yang membenarkannya.

“Saya gembira apabila mantan Datuk Bandar ketiga, Tan Sri Elyas menggesa DBKL menggunakan wang secara berhemah dan kita harus ingat sepanjang beliau berkhidmat, tidak ada sebarang kenaikan dilakukan.

“Saya juga amat yakin, Elyas akan setuju untuk menawarkan nasihat.

“Tengku Adnan dan DBKL harus melawat beliau untuk mendapatkan nasihat bagaimana mentadbir KL dengan cara yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan laporan berita The Malay Mail Online hari ini, Elyas turut mempertikai tindakan DBKL menaikkan cukai taksiran.

Menurut beliau, DBKL mempunyai pendapatan lebih besar berbanding dengan yang diperoleh 30 tahun lalu, jadi tidak ada sebab dan keperluan untuk menaikkan cukai sebanyak 10 peratus.

Elyas dilaporkan berkata, ia adalah satu kesalahan untuk membebankan rakyat dan DBKL mempunyai banyak cara lain meningkatkan pendapatan tanpa perlu menaikan cukai taksiran.

Tengku Adnan baru-baru ini mendakwa alasan kenaikan itu adalah disebabkan kadar taksiran tidak pernah berubah selama 21 tahun dan nilai tahunan hartanah telah meningkat.

Menyanggah dakwaan itu, Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, apa yang menjadi persoalan kini mengapa Tengku Adnan tidak menjawab asas penting mengapa DBKL dapat berfungsi tanpa mengenakan kadar cukai baru 21 tahun lalu.

“Mengapa perlu dilakukan sekarang, ketika kerajaan melaksanakan pelan yang kononnya untuk merasionalkan subsidi, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan peningkatan besar dalam tarif elektrik tahun depan? Tidakkah ini akan menyulitkan lagi hidup rakyat?

“Hanya ada satu perkataan yang boleh menggambarkan tindakan ini, iaitu ‘tidak masuk akal’,” tegasnya. -Roketkini.com