Berita

Tindakan padam mural ‘jenayah tinggi’ di JB jadikan Zacharevic masyhur

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER: Seniman jalanan kelahiran Lithuania, Ernest Zacharevic patut berterima kasih kepada beberapa pihak berkuasa, khususnya Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) dan Kerajaan Negeri Johor yang memadamkan mural “jenayah tinggi” di Johor Bahru (JB) membuatkan namanya masyhur bukan setakat di Johor dan Malaysia, malah di dunia.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, keratan gambar grafiti ‘jenayah tinggi’ Zacharevic itu kini boleh dilihat di beberapa tempat lain, termasuk Kuala Lumpur dan Rawang dan tidak lama lagi ke seluruh negara kerana zaman teknologi maklumat begitu cepat tersebar ke seluruh dunia.

Katanya, tindakan MBJB memadamkan mural Zacharevic yang dilukis pada tembok sebuah kedai usang di Taman Molek membolehkan Zacharevic menjadi begitu cepat terkenal bukan setakat di kalangan penduduk JB, malah di Malaysia.

“Tindakan itu membantu penduduk JB yang mahukan reputasi JB sebagai pusat jenayah Malaysia dihapuskan dan menjadi bandar selamat bagi penduduknya, pelancong dan pelabur.

“Ini adalah pengajaran buat semua pihak berkuasa iaitu semakin besar tekanan diberi tanpa sebab munasabah, semakin panas reaksi orang ramai,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kontroversi Zacharevic berkaitan dua isu berkembar yang asasi iaitu hak untuk hidup dalam suasana selamat serta hak untuk bersuara secara bebas.

Katanya, tetapi kesan segera yang ingin dilihat rakyat Johor, dan Malaysia masih belum kelihatan, iaitu tekad dan komitmen baru semua pihak berwajib di Johor, termasuk MBJB, kerajaan negeri dan polis menggembeleng tenaga menjalankan insiatif berkesan untuk menjadikan JB bandaraya rendah jenayah.

“Bilakah kempen memadamkan reputasi JB sebagai pusat jenayah Malaysia akan bermula. Itu adalah satu-satunya respons yang benar-benar bermakna terhadap mural “jenayah tinggi” di JB!,” katanya. -Roketkini.com