Berita

PAS wajar kekal bersama PR untuk tawan negeri lain – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengucapkan tahniah kepada pimpinan dan perwakilan PAS di atas kejayaan melaksanakan Muktamar ke-59 peringkat kebangsaan dengan lancar sehingga menggagalkan usaha keras penyusun konspirasi UMNO menerusi media sosial di ruang siber untuk mewujudkan perseteruan dan perpecahan dalam PAS dan menghancurkan kerjasama dan matlamat Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, muktamar yang baru selesai dengan jayanya itu memberi harapan kepada majoriti rakyat Malaysia yang percaya bahawa politik dua pakatan di Malaysia masih hidup dan bertenaga.

Katanya, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga menyedarkan semua orang apabila dalam ucapan penggulungannya menyatakan bahawa PAS tidak akan berkembang ke luar daripada pantai timur Semenanjung jika parti itu tidak menyertai PR bersama PKR dan DAP.

Menurut Mat Sabu kalau PAS berjuang secara bersendirian, sudah tentu PAS tidak lebih menguasai hanya daripada Rantau Panjang (utara Kelantan) sehingga ke Kemaman (Terengganu), tetapi di bawah PR, kawasan yang ditaklukinya melebar sehingga ke Selangor dan InsyaAllah sampai ke Johor.

“Pada 1999, PAS mendapat faedah besar daripada kemarahan orang terhadap Barisan Nasional (BN) berikutan krisis politik dan ekonomi pada 1998 sehingga memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan PAS parti pembangkang terbesar.

“Bagaimanapun, 93% dan 86% kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi PAS ialah di negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Pada 2004, berikutan “Tsunami” Pak Lah, PAS hanya berjaya memenangi 6 kerusi Parlimen dan 33 kerusi negeri (100% kerusi Parlimen dan 94% kerusi DUN di utara).

“Pada 2008 menandakan anjakan besar sokongan terhadap PAS daripada negeri di luar negeri utara. PAS menang 23 kerusi Parlimen dan 83 kerusi DUN, hanya 70% kerusi Parlimen dan 76% kerusi DUN di empat negeri utara.

“Pada 2013, kerusi Parlimen yang dimenangi PAS kurang dua (21 kerusi) berbanding pada Pilihan Raya Umum 2008 (23 kerusi), tetapi parti itu berjaya menambah dua lagi kerusi DUN (85 kerusi) berbanding sebelum itu (83). Kali ini, hanya 67% kerusi Parlimen dan 66% kerusi DUN adalah di empat negeri utara.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dengan menganggotai PR, PAS berjaya melangkah melampaui empat negeri terasnya.

“Kegagalan PAS di Kedah pada 2013 tidak boleh dikaitkan dengan penyertaan PAS dalam PR, sebaliknya kerana faktor dalaman. Penjelasan yang sama boleh dikemukakan untuk memahami kemerosotan sokongan PAS di Kelantan.

“Jika sokongan terhadap PAS di negeri utama Melayu terjejas kerana keanggotaannya dalam PR, sudah tentu pencapaiannya di Terengganu tidak akan meningkat.

“Jelas bahawa pertambahan penduduk secara pesat di Semenanjung akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Di negeri inilah kita akan melihat adanya peningkatan jumlah kerusi (Parlimen dan DUN). Kebanyakan kerusi baru ini daripada segi kaum adalah kerusi ‘campuran’,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, jika PAS mahu terus berkembang di luar empat negeri utara, ia perlu bekerjasama dalam konteks PR untuk meningkatkan sokongan Melayu dan juga bukan-Melayu. Di negeri utara, PAS perlu memperkukuhkan diri dan PR di peringkat dalaman.

Menurutnya, satu lagi cara untuk meneliti prestasi PAS berdasarkan negeri ialah dengan menganalisa peratusan undi yang diraih PAS di kerusi yang ditandinginya di setiap negeri.

“Sokongan terhadap PAS di Kelantan dan Terengganu mencapai tahap tertinggi pada 1999 (iaitu masing-masing 60.5% dan 58.7%). Sokongan terhadap PAS di Kedah mencapai tahap tertinggi pada 2008 apabila ia meraih 50.6% undi di kerusi yang ditandinginya. Pada 2013, walaupun sokongan terhadap PAS merosot di Kedah, Kelantan, dan Terengganu berbanding 1999, peratusan undi yang didapatinya masih jauh lebih tinggi daripada yang diperoleh pada 2004.

“Pada masa yang sama, sokongan terhadap PAS di luar empat negeri utara meningkat dengan banyak sejak 1999, khususnya di Pulau Pinang (peningkatan sebanyak 16.8%), Selangor (11.0%), Negeri Sembilan (5.1%) dan Johor (7.2%). Ini menunjukkan keanggotaan PAS dalam PR menguntungkannya di ketiga-tiga negeri berkenaan,” katanya.

Kit Siang berkata, keanggotaan PAS dalam PR jelas membantu parti itu memenangi dua kerusi Parlimen baru pada 2013, kerusi yang tidak mungkin dimenanginya tanpa sokongan PR.

Contohnya, katanya, di Temerloh, kerusi Parlimen yang mempunyai 63% pengundi Melayu, 26% Cina, dan 9% India, PAS telah menang dengan majoriti 1,070 undi berkat sokongan kuat daripada 35% pengundi bukan-Melayu dalam kawasan itu.

“Di Sepang, kerusi yang mempunyai 59% Melayu, 23% Cina, 18% India pula, PAS menang dengan majoriti 1,142 undi menentang seorang bekas menteri UMNO dengan sokongan kuat 41% pengundi bukan-Melayu dalam kawasan berkenaan.

“Jika PAS hendak merebut kembali kerusi Sungai Besar (34% bukan-Melayu), Kuala Selangor (36% bukan-Melayu) dan Titiwangsa (32% bukan-Melayu) yang dipegangnya dulu, ia mesti memanfaatkan kekuatan jenama dan kerjasama dalam PR.

“Bukan setakat PAS mendapat faedah daripada kerjasama dalam PR kerana perkara yang sama juga dialami DAP dan PKR.

“Tidak diragui lagi bahawa dengan membentuk pakatan, setiap satu daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR, dan PAS berjaya merebut lebih banyak kerusi Parlimen dan negeri berbanding jika setiap parti itu bertanding secara bersendirian, dan dengan kerjasama itu juga mereka mampu meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi di seluruh negara,” katanya.

Menurut Kit Siang, perkara terpenting bagi PR kini ialah untuk membentuk majlis strategik peringkat tertinggi untuk menyusun rancangan merampas kerajaan Pusat dan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang, selain mencatat keputusan terbaik untuk PR di setiap negeri.-Roketkini.com