Berita

DAP terus buat kerja, lancar ‘Impian Sabah’ pula

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai sebuah parti yang berasaskan tindakan dan bukan sekadar cakap kosong, terus giat berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan kali ini ke Kota Marudu, Sabah bagi merealisasikan impian rakyat ke arah kehidupan yang lebih baik.

Berdasarkan gerakan ‘Impian Malaysia’ yang diilhamkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, projek pertama Impian Sabah bakal diadakan di Kampung Samparita Laut, Kota Marudu sebuah kampung Dusun yang mengambil masa tiga jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran Impian Sabah di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di sini, hari ini, Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin berkata, kampung itu langsung tidak mempunyai bekalan air bersih.

“Seramai lebih 200 orang penduduk bergantung sepenuhnya kepada sumber air sungai untuk minum dan membasuh. Air minum selalunya kelihatan seperti Nescafe susu. Bila hari hujan warnanya kelihatan seperti nescafe kurang susu, mereka akan mengambil air itu untuk dijadikan air minuman,” kata beliau.

Pada sidang media yang sama, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, DAP akan menghantar sukarelawan ke kawasan berkenaan yang akan membantu penduduk tempatan membina empangan kecil bagi mewujudkan sebuah sistem saliran air bersih menggunakan graviti.

Ketika ditanya media sama ada usaha Impian Sabah ini sekadar mensasarkan kawasan yang ingin ditawan DAP, Tony Pua berkata itu bukan objektif utama.

“Sokongan akan datang kemudian. Kita tidak meletakkan itu sebagai fokus. Yang penting kita bantu rakyat,” ujarnya.

Kampung Samparita Laut, Kota Marudu terletak dalam kawasan Parlimen yang dimenangi Dr Maximus Ongkili yang secara ironinya adalah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Ongkili menang kerusi Kota Marudu dengan majoriti sekadar 842 undi.

DAP bukan parti hanya tahu cakap

Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pula berkata, projek Impian Sabah bakal memperlihatkan kepada warga Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya bahawa DAP bukan parti politik yang hanya tahu bercakap.

“DAP adalah parti yang mengambil segala langkah yang perlu untuk memperbaiki kehidupan rakyat, terutamanya yang tertindas,” kata beliau.

Menurutnya lagi, Sabah sepatutnya sudah cukup ranum untuk berubah pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, memandangkan keadaan rasuah dan kegagalan urustadbir negeri itu yang menyebabkan ia menjadi negeri dengan kadar kemiskinan tertinggi dalam negara.

“Pakatan Rakyat tidak boleh terus putus asa dengan keputusan PRU ke-13 malah mesti menggandakan usaha untuk menembusi kawasan pedalaman dan memenangi hati rakyat Sabah dengan membuktikan keikhlasan dan komitmen kepada orang kampung di pedalaman dengan memperlihatkan usaha untuk tidak mengabaikan keperluan dan hak mereka,” tambah Kit Siang lagi.

Majlis pelancaran ringkas Impian Sabah turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt; Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew; Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming; ADUN Likas, Wong Hong Jun; ADUN Kapayan, Dr Edwin Bosi dan ADUN Sri Tanjong, Chan Foong Hin.

Mereka yang berminat untuk memberi sumbangan kepada kempen Impian Malaysia boleh melayari laman web http://dapmalaysia.org/donate dan boleh mendapatkan maklumbalas melalui email [email protected] – Roketkini.com