Berita

Skandal PKFZ: Alasan Gani Patail lemah, pelik

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menganggap alasan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung keputusan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) sebagai lemah dan pelik.

Semalam, Abdul Gani pada satu sidang media mengatakan, pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan berikutan keputusan mahkamah itu berdasarkan penemuan fakta.

Mahkamah Tinggi pada 25 Oktober lalu membebaskan Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan.

Mengulas kenyataan itu, Gobind berkata, dalam mana-mana kes, sudah menjadi kebiasaan bagi pihak pendakwaan untuk mengemukakan rayuan walaupun ada penemuan fakta yang tidak memihak kepada mereka.

“Terbuka untuk mana-mana perayu untuk berhujah yang hakim silap dalam menilai fakta kes.

“Namun lebih penting apabila Peguam Negara dilaporkan berkata, ‘apabila saksi utama kamu kata dia tidak ditipu, apa kes yang kita ada?’. Ini pelik,” katanya yang juga seorang peguam.

Beliau merujuk kepada saksi utama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau tidak dikelirukan Liong Sik.

“Tidakkah polis soal siasat saksi utama ketika siasatan, sebelum Dr Ling didakwa? Tidakkah Peguam Negara meneliti kenyataannya sebelum membuat keputusan untuk mendakwa?

“Dan jika Dr Mahathir adalah saksi utama, kenapa beliau tidak dipanggil oleh pihak pendakwa sebagai saksi, sebaliknya sebagai saksi pihak pembela? Dan di tahap itu, tidakkah pendakwa tahu apa yang akan dikatakan beliau?” soalnya.

Justeru, katanya lagi, sukar dipercayai yang Peguam Negara akan teruskan pendakwaan, jika beliau sudah tahu yang saksi utama berpihak kepada Liong Sik.

“Tapi beliau teruskan. Jadi apa yang berlaku? Beliau perlu jelaskan.

“Lebih serius, jika ada kenyataan daripada saksi utama yang mengatakan dia ditipu, adakah dia menukar kenyataannya ketika perbicaraan? Jika ya, apa tindakan Peguam Negara?,” soalnya lagi.

Ketika sesi perbicaraan 19 Februari lalu, Dr Mahathir mengakui beliau memberikan kenyataan bercanggah, namun menafikan yang beliau tidak bercakap benar.

Liong Sik didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri iaitu RM25 satu kaki persegi, meskipun maklum Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta sudah mengambil kira kadar faedah dalam menentukan kadar itu. -Roketkini.com