Berita

Pakatan lancar kempen besar-besaran ‘Faham GST, Tolak GST’, 20 Disember

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBERI: Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan kempen besar-besaran ‘Faham GST, Tolak GST’ sebagai tanda protes kepada pelaksanaan cukai yang menambahkan beban rakyat.

Pelancaran kempen di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada 20 Disember ini akan diketuai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Jawatankuasa kempen terdiri daripada Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP, Tony Pua Kiam Wee; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kita akan adakan kempen di seluruh negara selepas pelancaran dan akan di beritahu oleh jawatankuasa berkenaan nanti,” kata Anwar.

Kempen ‘Faham GST, Tolak GST’ diputuskan sebulat suara dalam Mesyuarat Pimpinan PR di Tingkat 14, Bilik Ketua Pembangkang, di Parlimen, hari ini.

Abdul Hadi berkata, PR menentang sepenuh GST kerana ia bercanggah dengan konsep keadilan untuk meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

“GST ini membebankan seluruh rakyat tanpa mengambil kira tahap kemampuan mereka, sepatutnya cukai dikenakan hanya pada mereka yang berkemampuan.

“Kerajaan nampaknya lebih mengambil kira untuk meningkat kewangan semata tanpa memandang kemampuan rakyat semua peringkat,” katanya pada sidang media bersama Anwar dan Kit Siang.

Beliau menambah, GST juga bercanggah dengan konsep Islam yang mementingkan keadilan dan kesaksamaan pada semua tanpa mengira kaum atau agama.

“Konsep zakat dan cukai dalam Islam ialah mesti berdasarkan pada nisab.

“Nisab ini adalah pendapatan berdasarkan kepada semua rakyat, rakyat yang tidak ada pendapatan secukupnya tidak dikenakan zakat dalam Islam, begitu juga cukai kepada bukan Islam. Inilah konsep keadilan sebenar tapi malangnya tidak diikuti oleh UMNO,” tegasnya. -Roketkini.com