Berita

Kerajaan langgar kontrak RM142 juta program ‘Remote Sensing’, menteri digesa kemuka penjelasan

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER: DAP menggesa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Ewon Ibin memberi penjelasan berhubung kes pelanggaran kontrak program ‘Remote Sensing’ membabitkan kementeriannya yang berjumlah RM142.88 juta.

Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping dan Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pada sidang media bersama hari ini menyatakan penjelasan harus diberi kerana ia membabitkan wang cukai rakyat.

Julian berkata, pada Mac 2009, PNAS memfailkan saman terhadap Agency Remote Sensing Malaysia (ASRM) dan MOSTI kerana melanggar kontrak perjanjian 10 tahun projek Malaysian Centre of Remote Sensing (MACRES).

“Dalam jawapan Parlimen yang diberi kepada saya, Menteri MOSTI menyatakan sejumlah RM88 juta dibayar pada PNAS secara perbicaraan timbang tara pada 19 Februari 2013. Namun tidak ada maklumat lanjut mengapa ia boleh berlaku.

“Dua kali saya meminta maklumat terperinci diberikan tapi beliau seolah-olah tidak memahami dan tidak mengemukakan jawapan sebenar.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui fakta dan butiran penyelesaian khususnya yang akan diperoleh melalui bayaran pampasan sebanyak RM88 juta itu?,” soalnya di Lobi Parlimen.

Beliau turut menyelar kenyataan Ewon Ibin yang mendakwa jika perkara itu tidak diselesaikan, potensi kerugian kerajaan bakal mencecah RM330 juta.

“Persoalannya kini, bagaimana konsesi 10 tahun berharga RM143 juta boleh berpotensi kehilangan RM330 juta? Apa sebenarnya objektif atau skop kerja program ‘Remote Sensing’ MACRES yang telah berakhir dengan begitu awal sekali?

“Saya akan menulis surat Jawatankuasa Kira-Kira Awam dan Ketua Audit Negara untuk membuat siasatan lanjut.

“Kami juga ingin bertanya adakah projek ini berkaitan dengan projek satelit ASRM, dimana RM142 juta Razak Sat 1 telah gagal apabila 1,300 gambar yang diambil langsung tidak berguna. Kes ini menunjukkan betapa tidak cekapnya ASRM,” tegasnya.

Pada 2011, program Razak Sat 2 yang bermula dengan kos sebanyak RM200 juta juga dilanda pelbagai masalah dan tertangguh hingga menyebabkan kosnya meningkat kepada tambahan RM71.9 juta kepada sejumlah RM271.9 juta.

Sim pula menambah, beliau mendukung usaha kerajaan dalam projek luar angkasa namun ia harus dijalankan secara telus. -Roketkini.com