Berita

Adil untuk semua hanya retorik Najib

KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER: Berdasarkan pelbagai perilaku rasis dan tindakan tidak bertanggungjawab kepada rakyat sebelum ini, DAP menganggap dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bahawa partinya adil untuk semua adalah hanya retorik.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Kebangsaan DAP, Mahdzir Ibrahim berkata, ia tidak munasabah untuk Najib berkata demikian kerana partinya jelas berlandaskan jalur ketuanan Melayu dan bukannya untuk semua seperti yang dilaungkan.

“Konsep ‘Ketuanan Melayu’, ini sendiri menggambarkan hubungan antara ‘Tuan’ dan hamba. Jika Melayu itu tuan, siapa pula hambanya? ini jelas menjadi dasar politik UMNO.

“Malah keahlian UMNO sendiri termasuk gabungan Barisan Nasional (BN) ‘segregated’ berasaskan etnik kaum. UMNO untuk Melayu, MCA Cina dan MIC India,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, menurut Mahdzir, terdapat pelbagai lagi amalan rasis UMNO yang mengesahkan betapa mereka tidak pernah menghormati warga Malaysia lain selain hanya menjaga periuk nasi dan suku sakat mereka.

“Perkara ini kita boleh lihat berdasarkan imej perkauman Hishammuddin Tun Hussein yang sebelum ini menghunus keris semasa Persidangan UMNO 2005. Beliau cuba menggambarkan ‘jangan cabar Melayu’ dengan simbol keris itu.

“UMNO juga membiarkan malah bersengkongkol dengan NGO ‘ultra’ Melayu seperti Perkasa dan pemimpinnya Ibrahim Ali yang jelas banyak menghina kaum serta budaya masyarakat Cina dan India.

“Mereka juga kini menyuntik RM40 juta dana kepada Utusan Malaysia untuk secara sengaja menyebar sentimen perkauman. Contohnya dapat dilihat daripada siri provokasi seperti ‘Tsunami Cina’, ‘Apa Lagi Cina Mahu’ dan isu institusi raja,” ujarnya.

Beliau menambah, amalan perkauman sememangnya tidak dapat lari dan sudah sebati dalam UMNO daripada peringkat atas hingga bawah termasuk agensi kerajaan yang dikawal untuk meneruskan agenda tidak beretika.

“Pelbagai kenyataan dan tindakan provokasi ahli atau penyokong mereka seperti Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail serta dalam beberapa kes seperti isu kepala lembu, peniaga Bumiputera Pulau Pinang, kes di sekolah SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya dan lain-lain.

“Jentera kerajaan seperti BTN pula digunakan untuk mengindoktrinasi pelajar Melayu dan menyemai benih kebencian kepada pembangkang yang digambarkan sebagai perkauman kepada Melayu dalam aspek sosial, agama serta ekonomi.

“Mereka turut menggunakan agensi kerajaan seperti TEKUN untuk menyalurkan dana kepada ahli UMNO dan melantik tokoh akademik di IPTA secara tidak telus, di mana yang dilantik adalah daripada kalangan cenderung kepada aliran politik perkauman,” tegasnya. -Roketkini.com