Berita

Ridhuan Tee tidak bertamadun, tidak layak bergelar profesor

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengutuk tindakan tidak bertamadun Pensyarah Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM), Ridhuan Tee Abdullah yang melabelnya ‘andartu kiasu’, semalam.

Beliau berkata, serangan jahat itu membuktikan Ridhuan Tee bukan seorang lelaki berbudi bahasa dan tidak layak bergelar profesor serta menjadi contoh kepada pegawai tentera masa depan UPNM.

“Beliau sepatutnya melawan kritikan saya berdasarkan fakta. Saya amat kesal kerana beliau begitu biadap menggunakan diskriminasi kaum dan jantina untuk menyerang saya.

“Mengenai soalan saya berhubung tindakan beliau mengajar dan menggalak pembersihan etnik, ia boleh dirujuk dalam artikel Utusan Malaysia bertarikh 13 Jun 2010.

“Artikel tulisan Ridhuan Tee bertajuk ‘Perlukah Memorial Tan Cheng Lock’, dengan jelas menyatakan bahawa beliau memuliakan pembunuhan orang Yahudi yang dilakukan Hitler,” katanya dalam kenyataan.

Teresa Kok yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, beliau turut mempunyai bukti yang mengesahkan tindakan tidak beretika Ridhuan memplagiat artikel milik orang lain untuk mendapatkan gelaran Profesor Madya.

“Saya telah menunjukkan keterangan di mana Ridhuan Tee jelas menyalin (plagiat) artikel Dr Airil Yasreen Mohd Yassin di laman web bernama ‘Airil Sametok’ dalam kertas kerjanya yang dikemukakan di bawah ‘Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK4).

“Bagaimana beliau akan dihormati, diiktiraf dan mendapat penghormatan pelajar di UPNM? Beginikah contoh yang akan diberi kepada pelajar dan pemimpin tentera masa depan?

“Plagiarisme adalah satu kesalahan etika yang sangat serius dalam bidang akademik. Universiti berkenaan tidak boleh terus menutup sebelah mata terhadap tingkah laku Ridhuan Tee ini. Sikap berdiam diri akan memberi mesej betapa mereka tidak serius menegakkan integriti akademik dan piawaian antarabangsa,” ujarnya.

Pejabat DAP Seputeh bersama Teresa Kok hari ini juga melakukan pembakaran kertas undi dan dokumen berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU) 13 lalu.

Semua kertas undi bagi Parlimen Seputeh dan dua kawasan lain dibakar di perkarangan Bangunan Krematorium Cheras, Kampung Cheras Baru.

Penghapusan kertas undi itu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa undi mereka kekal rahsia. -Roketkini.com