Rencana

Hamil muda, menikah di awal usia – Aishah

DI JAMAICA, kerajaan membenarkan gadis yang hamil untuk sambung belajar dan kembali ke sekolah setelah melahirkan anak.

Di Ukraine, peningkatan akses kepada kontrasepsi (alat pencegahan kehamilan) mengurangkan keguguran sebanyak 2/3.

Di India, program kemahiran hidup untuk wanita muda yang ingin berkahwin telah meningkatkan penggunaan kontrasepsi.

Di Kenya, pemberian baju uniform sekolah meningkatkan kemasukan ke sekolah dan merendahkan kadar kehamilan sebanyak 17 peratus.

Dan di Mesir, ruang yang mesra-perempuan disediakan berserta latihan kemahiran hidup, membaca dan program rekreasi telah mengubah persepsi gadis tentang perkahwinan di usia muda.

Di Malaysia sendiri, perkahwinan di usia muda mendapat liputan meluas baru-baru ini berkenaan pasangan remaja yang masing-masing berumur 12 tahun dan 20 tahun yang bercerai dengan talak tiga setelah berkahwin tidak sampai setahun. Pasangan itu kemudiannya dikhabarkan oleh bapa sebelah perempuan bahawa si suami telah merogol anaknya dan mereka dikahwinkan untuk membela maruah.

Kejadian ini sama sekali tidak melindungi mangsa rogol itu tadi yang perlu dikahwinkan pula dengan perogol dan kini telah bercerai. Bukan sahaja mereka ini tidak bersedia daripada segi psikologi tetapi juga kestabilan kewangan dalam hidup berkeluarga.

Kejadian ini juga antara rentetan perkahwinan pada usia muda yang jarang diperhatikan dengan serius. Jika mengimbau kembali kejadian di Kelantan pada 2010, terdapat dua kes pernikahan yang berlaku membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Jelawang dan satu lagi kes membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang berkahwin dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas.

Dalam isu ini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dilaporkan tidak bersetuju terhadap perkahwinan bawah umur kerana menurutnya Islam menggalakkan sesuatu perkahwinan untuk mendapatkan zuriat bukan semata-mata dilihat daripada sudut untuk memuaskan nafsu dan amalan sunnah Nabi Muhammad SAW semata-mata.

Menyambut usaha baik dalam meningkatkan kesedaran akan hak kanak-kanak sekaligus hak wanita yang kedua-duanya sebahagian hak asasi manusia, kerajaan negeri Pulau Pinang telah melancarkan pelbagai inisiatif. Antaranya Dasar Jagaan Kanak-Kanak Pulau Pinang dan Pelan Tindakan telah diterima pakai pada 1 Mac 2013. Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai kerajaan negeri yang pertama di negara ini yang menetapkan strategi mempromosikan hak sejagat dan akses kepada jagaan kanak-kanak yang berpatutan, selamat dan berkualiti.

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga menyedari keperluan untuk melindungi hak kanak-kanak seperti termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suatu program dialog dengan tajuk “Dialogue on The Impact of Gender and the Sexual and Reproductive Health and Rights of Women and Girls” telah diadakan pada akhir November lalu anjuran UNDP. Bertemakan “Motherhood in Childhood”, beberapa panelis dijemput untuk berkongsi dan membincangkan daripada amalan berkhatan lelaki dan perempuan sehinggalah seksualiti anak muda. Skop perbincangan adalah tentang hak kanak-kanak bukan sahaja di Malaysia malah juga di negara mundur yang masih mengamalkan “female genitalia mutilation” dan kehamilan di usia seawal 10 tahun!

Siri dialog yang konsisten juga diadakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti yang dipengerusikan Chong Eng, dengan setiap NGO yang menangani isu kanak-kanak di Pulau Pinang. Dialog ini pula dijalankan awal Disember baru-baru ini.

Dialog ini disambut baik oleh kalangan peserta yang sedia berganding bahu membantu kerajaan negeri dalam mengenal pasti keperluan kanak-kanak yang mempunyai potensi menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Dialog ini juga mensasarkan kanak-kanak istimewa agar mereka ini juga dapat tumbuh dengan subur bersama-sama dalam persekitaran yang sihat.

Ia turut menekankan hak kanak-kanak yang harus juga dilayan seperti manusia lain yang perlu akan keseronokan, pendidikan, dan kesihatan yang baik.

Persoalan “Motherhood in Childhood” bukan sahaja memaksa kanak-kanak untuk cepat dewasa, tetapi merampas keseronokan mereka dengan harus memikul peranan seorang isteri malah seorang ibu! Lebih malang lagi, jika anak yang dijaga itu juga kemudiannya akan mengikut jejak langkah ibu mereka yang dirogol atau dikahwinkan pada usia muda. – Roketkini.com