Berita

DAP mahu pilihan raya tempatan PBT diadakan semula

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER: Kerajaan digesa mengadakan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya rakyat dapat memilih mereka yang akan mentadbir kawasan tempat tinggal mereka, kata Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai.

Katanya, dengan cara itu, pegawai yang dipilih rakyat akan lebih memahami dan menghormati kehendak mereka.

WIRA2768“Kini mereka yang mentadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah yang dilantik dan ternyata tidak menunjukkan prestasi memuaskan. DBKL tidak buat apa yang sepatutnya.

“Maka adalah menjadi harapan Pakatan Rakyat (PR) dan rakyat agar pemerintah kini memperkenalkan semula pilihan raya PBT.

“Hanya dengan cara itu Datuk Bandar dan DBKL akan menghormati hasrat dan tahu penderitaan rakyat,” katanya ketika berucap di perhimpunan membantah kenaikan cukai taksiran di Dataran DBKL, di sini, pagi tadi.

Walaupun perhimpunan itu diadakan pada hari bekerja, lebih 700 warga kota hadir menunjukkan bantahan mereka.WIRA2566

Kenaikan cukai sehingga 300 peratus diumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada sesi Parlimen yang lalu.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu juga menganggap kenaikan cukai hartanah di Kuala Lumpur adalah mengejutkan.

“Peningkatan cukai untuk hartanah di Kuala Lumpur adalah tidak adil. Ia sangat mengejutkan,” katanya lagi.

Antara Ahli Parlimen PR yang hadir adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Fong Kui Loon (Bukit Bintang), Lim Lip Eng (Segambut), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Tian Chua (Batu).

Hadirin berkumpul di Dataran DBKL seawal jam 10 pagi, sebelum bersama-sama Ahli Parlimen PR menghantar beberapa kotak surat bantahan ke kaunter di lobi DBKL.

Datuk Bandar, Tan Sri Ahmad Phesal Talib turut bertemu dan berbincang beberapa minit dengan Ahli Parlimen PR dan mengatakan pihak mereka akan meneliti bantahan itu.-Roketkini.com