Rencana

Cukai: DBKL dan Teh di Boston – Edry Faizal

BERSEMPENA dengan perhimpunan Bersih kali kedua pada 9 Julai 2011, A Samad Said atau Pak Samad telah menggubah sebuah puisi. Puisi yang terus mengambil tempatnya dalam sejarah perjuangan demokrasi rakyat itu bertajuk “Unggun Bersih”. Antara bait-baitnya menyebut:

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Rangkap ringkas yang membawa pembaca atau pendengar kepada satu peristiwa penting dalam sejarah. Sekali imbas mungkin kelihatan hanya rujukan kepada Samuel Adams, seorang tokoh kemerdekaan Amerika Syarikat. Satu lagi merupakan sebuah peristiwa besar menjelang Revolusi Amerika Syarikat iaitu Pemusnahan Teh di Boston pada 16 Disember, 1773, yang turut dikaitkan dengan Samuel Adams.

Suratan atau kebetulan, pada 16 Disember 2013, berlaku satu protes di Dataran DBKL bagi membantah cubaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai pintu. Kenaikan yang dijangka mencecah 267 peratus.

Bantahan kali ini tidak terhad sekadar meluahkan kemarahan kerana perlu membayar cukai pintu lebih tinggi. Tetapi turut kedengaran hasrat lebih besar dari kalangan demonstran, menuntut dikembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Apa yang menghubungkan tahun 2013 dengan tahun 1773? Untuk memahami apa yang membawa kepada berlakunya Pemusnahan Teh di Boston, pertama harus memahami ketegangan yang berlaku antara koloni Inggeris di Amerika dan kerajaan British. Punca kepada tercetusnya konflik Pemusnahan Teh di Boston ialah masalah percukaian dan perwakilan.

Di dalam Perakuan Hak 1689 Inggeris (Bill of Rights 1689), cukai tidak boleh dikenakan tanpa persetujuan Parlimen. Namun, tidak seperti rakyat British lain, 13 koloni Inggeris di benua Amerika pula tidak mempunyai perwakilan mereka sendiri di dalam Parlimen.

Oleh sebab itu, koloni-koloni di Amerika tidak dapat mengundi dalam menentukan perihal cukai. Kerajaan British pula bebas mencukai kumpulan koloni dalam apa cara cara sekalipun. Menjelang tercetusnya revolusi, pelbagai bentuk cukai dikenakan. Salah satunya melibatkan teh. Seringkali cukai-cukai itu dipinda atau dimansuhkan hanya selepas berdepan protes dari koloni-koloni di Amerika.

Sekitar era itulah terbitnya slogan seperti “No taxation without representation” atau dalam bahasa Melayu, “Tiada cukai tanpa perwakilan”. Slogan yang menjadi simbol jelas masalah legitimasi atau keabsahan cukai yang dikenakan ke atas mereka. Jika tiada siapa mewakili mereka ketika keputusan untuk mengenakan cukai digubal, mengapa perlu mereka dicukai?

Kemuncak kemarahan itu terlakar di dada sejarah dengan terhumbannya teh ke dalam laut di Boston sebagai satu bentuk protes.

Merentasi Sejarah

Semangat yang hampir serupa kembali bertiup di Kuala Lumpur dan semakin membara berikutan tindakan DBKL mahu menaiKkan cukai pintu dengan jumlah yang sangat tinggi. Ibarat menyapu garam ke atas luka pedih yang dirasai warga Kuala Lumpur. Kepedihan mengenangkan pelbagai bentuk kenaikan harga yang bakal menimpa, dengan kos sara hidup yang sudah sedia tinggi.

Kelihatan protes kali ini tidak terhenti sekadar luahan rasa tidak puas hati terhadap cukai pintu. Sudah mula terdengar kembali di kalangan demonstran laungan menuntut suatu yang lebih besar. Seruan dikembalikan semula pemilihan kerajaan tempatan.

Warga sendiri mahu memilih siapa Datuk Bandar dan Ahli Majlis. Warga sendiri mahu menentukan sekumpulan manusia, selain daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, yang akan terbabit menentukan dasar tempatan. Sesuatu yang semakin jelas memberikan kesan kepada mereka.

Negara ini suatu masa dulu telah pun mempunyai pilihan raya kerajaan tempatan sebelum digantung kerana Pengisytiharan Darurat. Sejak itu pilihan raya kerajaan tempatan tidak dihidupkan kembali. Malah sebarang usaha menghidupkannya kembali sering dipandang enteng dan mendapat kutukan daripada pihak pemerintah. Apa yang mereka risaukan?

Melangkaui seruan “tiada cukai tanpa perwakilan”, tuntutan sebuah kerajaan tempatan yang demokratik adalah seruan untuk mewujudkan tadbir urus yang demokratik.

Tuntutan untuk sebuah kerajaan tempatan yang demokratik sering dimomokkan pemerintah sebagai cuba membuka kotak pandora kepada lebih banyak permainan politik. Persoalannya, sejauh mana pula penguasa kerajaan tempatan yang tidak dipilih secara demokratik hari ini bebas daripada menari mengikut gendang ahli politik yang menentukan kedudukan mereka?

Perbuatan sangat mirip dengan sikap pemerintah di peringkat persekutuan yang setiap kali dibangkitkan soal hak-hak demokrasi, segalanya kelihatan hodoh dan mengganggu. Benarlah peribahasa menyebut, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Oleh Rakyat Untuk Rakyat

Tanpa melalui pilihan raya, bermakna kualiti dan kecekapan bukan lagi pertimbangan utama sebaliknya sejauh mana individu tertentu tunduk pada agenda parti politik yang berkuasa. Dalam konteks kerajaan tempatan misalnya, pada 2006 pernah berlaku satu kes lima anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) melanggar peraturan majlis berkuasa tempatan. Seorang daripadanya adalah Ketua UMNO Bahagian.

Bagaimanapun mereka masih diberi peluang menyambung jawatan mereka sebagai ahli majlis. Rakyat hanya boleh ternganga melihat kerana tiada hak dalam urusan melantik.

Satu lagi sisi lain, apabila kerajaan tempatan lebih demokratik, bermakna dua unsur penting demokrasi akan turut menyusul. Yakni ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat.

Terdapat 150 kerajaan tempatan di seluruh Malaysia dengan perbelanjaan kesemuanya jika digabungkan mencecah berbilion ringgit. Sekiranya kerajaan tempatan itu tidak dilantik oleh rakyat, maka mereka tidak menjawab terus kepada rakyat. Apakah itu baik?

Meskipun pilihan raya semata-mata bukanlah asbab mutlak wujudnya budaya demokrasi yang sihat. Tetapi sekurang-kurangnya melalui pilihan raya kerajaan tempatan, rakyat dapat terbabit melantik wakil mereka di dalam satu jasad politik bernama kerajaan. Serta memastikan mereka yang dilantik itu menggubal dasar sesuai dengan keperluan dan kepentingan warga yang melantik mereka.

Sesiapa yang mahu memenangi pemilihan, mahu tidak mahu perlu berunding dengan semua pemegang taruh. Membuka peluang kepada masyarakat, terutamanya mereka yang seringkali dipinggirkan, terbabit lebih dekat dengan proses membuat keputusan atau menjadi sebahagian daripada struktur politik sedia ada.

Biarlah daripada peringkat kerajaan tertinggi sehingga kerajaan paling rendah, benar-benar ada satu usaha merealisasikan sebuah tadbir urus rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.-Roketkini.com