Berita

ROS dicabar kemuka butiran lengkap atau diheret ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER: DAP menuntut Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengemukakan butiran lengkap berhubung keputusan mereka menolak pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu, baru-baru ini.

Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, jika ROS enggan akur dengan permintaan itu, tindakan undang-undang akan diambil dalam masa terdekat.

Menurutnya, DAP berhak mengetahui siapa pengadu dalam kes pemilihan semula CEC dan apa asasnya.

“DAP berhak bertindak balas terhadap sebarang aduan dan ROS perlu mengambil kira penjelasan ini sebelum membuat sebarang keputusan yang akan memberi kesan kepada kami. Ini adalah perkara paling asas dalam undang-undang.

“Sehingga atau melainkan ia dapat dilakukan, mereka tidak mempunyai kuasa memaksa DAP mematuhi surat bertarikh 6 Disember 2013.

“DAP bersedia sepenuhnya untuk tidak teragak-agak, jika perlu, merujuk cara serta kesahihan tindakan ROS kepada pihak kehakiman,” katanya dalam kenyataan,

ROS dalam suratnya mendakwa laporan pemilihan semula CEC terlalu ringkas dan menyarankan DAP agar menyerahkan dokumen untuk memastikan sama ada ia dijalan mengikut arahan.

Sehubungan itu, Gobind menegaskan, laporan pemilihan semula yang dihantar kepada ROS adalah mengikut format biasa seperti mana dilakukan dan diterima ROS pada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, tidak ada asas bagi ROS untuk mengatakan laporan itu terlalu ringkas,” ujarnya.

Ahli Parlimen DAP Puchong itu turut mengesa ROS menjelaskan undang-undang yang memberikan kuasa kepada mereka untuk tidak mengiktiraf CEC baru.

Tambahnya, ahli baru CEC juga tidak boleh membuat sebarang keputusan sementara menunggu siasatan.

Katanya lagi, perkara ini adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan terutama apabila ROS bertindak di luar kuasanya.

“DAP akan menulis surat kepada ROS menuntut penjelasan berkenaan perkara yang dinyatakan.

“ROS mesti menunjukkan bahawa kedudukan yang diambil dalam surat bertarikh 6 Disember lalu adalah selaras dengan undang-undang. Jika ia tidak dapat dilakukan, surat itu mesti ditarik balik.

“Sekali lagi saya tekankan, jika ROS gagal memberi jawapan atau terus enggan bekerjasama, tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya. -Roketkini.com