Berita

Tahun lepas komunis, tahun ni Syiah, tahun depan apa pula? – Mat Sabu

SHAH ALAM, 18 DISEMBER: Rakyat sukar mempercayai propaganda dan kempen serangan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu oleh pihak tertentu yang menuduhnya berfahaman Syiah pula, setelah tahun lalu beliau dituduh komunis.

Beliau menyifatkan serangan isu Syiah ke atasnya bersifat sementara, seperti juga trend barat memusuhi komunisme penghujung abad lalu.

Katanya lagi, serangan ini semua adalah sekadar permainan politik.

“Kalaulah pejuang menentang komunis dulu melihat betapa baiknya kita dengan komunis sekarang, bahkan lawatan ke China ni, wah dulu orang Cina yang pergi, sekarang Melayu berebut,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.

“Sekarang ni kalau mengaku komunis sehari lapan belas kali pun kerajaan tak tangkap,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Roketkini.

Beliau yang semalam dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang baru, turut menambah bahawa apa yang berlaku terhadapnya adalah sekadar sebahagian daripada politik adu domba mengikut isu semasa.

Semalam, lidah rasmi PAS Harakahdaily melaporkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut bahawa isu Syiah hanyalah dendam politik bagi memburukkan parti komponen Pakatan Rakyat demi meraih sokongan orang Melayu.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bahawa UMNO sudah tidak mempunyai modal baru pada saat rakyat sedang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup malah turut semakin dijauhi MCA.

Bukan Syiah

Sambil menafikan bahawa beliau berfahaman Syiah, Mat Sabu berkata, bahawa beliau tidak tahu apa tujuan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan isu Syiah itu terhadapnya.

“Saya pun tak tahu kenapa. Tak ada isu peribadi antara kami. Saya pun tak ada hutang dengan dia,” ujar beliau.

Bagi beliau, rakyat sudah tidak lagi mudah menerima momokan daripada pihak pemerintah apabila pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya begitu pelbagai.

“Tahun sudah dia tuduh saya komunis, tahun ni dia tuduh Syiah, orang dok tunggu tahun depan apa pula dia nak tuduh saya,” katanya lagi sambil ketawa besar. – Roketkini.com