Rencana

Mutu pendidikan merosot: Bila Muhyiddin mahu berterus terang? – Lim Kit Siang

IMG_7595TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap melakukan tindakan yang paling merugikan negara apabila beliau mengabaikan kenyataan bahawa Malaysia sedang menghadapi krisis pendidikan sejak sedekad lalu dan memperdaya ibu bapa dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin dengan gambaran palsu mengenai mutu pendidikan “bertaraf dunia”.

Hakikatnya, menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, bahawa mutu pendidikan di Malaysia sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau universiti sedang merosot begitu dengan teruk sepanjang satu dekad lalu.

Kenyataan CEO Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, kelmarin seharusnya difikirkan dengan serius oleh semua rakyat Malaysia.

Wan Saiful menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan daripada kepercayaan yang diberikan oleh golongan rakyat termiskin dengan mencipta “ilusi” bahawa sistem pendidikan negara sudah melalui pembaharuan.

Menurut Wan Saiful, kajian yang dilakukan badan pemikir yang diterajuinya menunjukkan ibu bapa yang berada dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin umumnya gembira dengan mutu guru sekolah dalam negara, sedangkan anak mereka berada dalam keadaan tidak baik jika diukur berdasarkan piawaian antarabangsa.

Wan Saiful membangkitkan soal jurang antara “persepsi dan realiti” dan memberitahu bahawa ibu bapa terbabit mempunyai persepsi yang amat positif terhadap sekolah kita, sedangkan lulusan sekolah di negara ini mencatatkan pencapaian buruk dalam penilaian di peringkat antarabangsa.

Menurut Wan Saiful lagi, pihak yang memegang kuasa tampaknya “amat mahir” membentuk pandangan golongan miskin mengenai mutu pendidikan dalam negara.

Ujar beliau: “Terlalu banyak ‘ilusi tentang pembaharuan’ yang dibentuk menerusi pelbagai pengumuman kerajaan. Namun kita mesti ingat bahawa semua itu hanya pengumuman.

“Kepercayaan yang diberi golongan miskin tidak sepatutnya disalah guna. Mereka memerlukan pembaharuan sekolah yang sebenar untuk membantu generasi berikutnya keluar daripada kitaran kemiskinan.”

Wan Saiful juga menyebut bahawa persepsi seharusnya tidak terlalu jauh berbeza daripada realiti jika rakyat Malaysia mahu memelihara masa depan anak mereka. Namun realiti pada masa ini nampak suram.

Wan Saiful berdiplomasi apabila beliau menggunakan istilah “ilusi” tentang pendidikan Malaysia yang konon “bertaraf dunia” sehinggakan ibu bapa dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin merasa “gembira” kerana anak mereka mendapat pendidikan bermutu.

Bagaimanapun, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan medianya berkata, bagi beliau “delusi” adalah lebih tepat digunakan berbanding “ilusi”, kerana yang dilakukan Muhyiddin dan pemimpin BN ialah menakluk dan menghamba pemikiran rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa dalam kelompok 40 peratus rakyat termiskin dan penduduk luar bandar.

“Dalam Programme of International Student Assessment (PISA) 2012, pelajar Indonesia diakui sebagai pelajar paling gembira di sekolah walaupun mereka mencatatkan keputusan yang tidak baik dalam ujian PISA iaitu di tangga kedua terbawah bagi subjek matematik, sains dan bacaan,” katanya.

Indonesia berada di tangga ke-64 daripada 65 negara yang menyertai ujian tiga tahun sekali itu. Mata purata bagi pelajar Indonesia adalah: 375 untuk matematik, 382 (sains) dan 396 (bacaan). Manakalan mata yang dicatatkan pelajar negara itu hanya sedikit lebih baik daripada pencapaian pelajar Peru yang berada di tangga terbawah. Pelajar Peru ditempatkan di tangga ketiga teratas daripada segi kegembiraan pelajar di sekolah.

Menurut Kit Siang, nampaknya pelajar dan ibu bapa Malaysia mencontohi Indonesia yang “gembira” dengan tahap pendidikan walaupun berpencapaian buruk dalam ujian penilaian antarabangsa.

PISA menempatkan pelajar Malaysia di tangga ke-6 paling gembira di sekolah, di belakang Indonesia, Albania, Peru, Thailand dan Colombia, dengan 90 peratus pelajar “gembira di sekolah”, walaupun Malaysia berada di tangga sepertiga tercorot, iaitu di tangga ke-52 daripada 65 negara, dalam ujian akademik PISA 2012.

Muhyiddin perlu bertanggungjawab atas “ilusi” atau, lebih tepat, “delusi” ibu bapa dan pelajar berada dalam kelompok 40 peratus keluarga termiskin yang merasa mereka adalah pelajar bertaraf dunia dan mendapat pendidikan bermutu.

Ini kerana Muhyiddin berpakat untuk menyembunyikan hakikat sebenar daripada ibu bapa tentang krisis keyakinan yang dihadapi Malaysia sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan pada 2009.

Malah, Muhyiddin terus menyembunyi daripada pengetahuan ibu bapa dan orang awam keputusan buruk pelajar Malaysia dalam TIMSS 2011, iaitu apabila Malaysia mencatat keputusan terburuk berbanding 25 negara yang terbabit dalam TIMSS 1995 atau 1999 hingga 2011, selain mencatat kemerosotan mata paling banyak secara keseluruhan (79 mata) bagi subjek matematik, diikuti Sweden (merosot 55 mata) dan Thailand (merosot 40 mata).

Dalam TIMSS 1999, mata Malaysia bagi subjek Matematik (519) dan Sains (492) berada di atas purata antarabangsa dan menduduki tangga ke-16 di kalangan 38 negara bagi Matematik dan ke-22 bagi Sains.

Menjelang 2011, mata Matematik jatuh kepada 440 mata (ke-26 daripada 42 negara), manakala mata Sains merosot kepada 426 mata (ke-32 daripada 42 negara).

Dalam empat TIMSS dari 1999-2011, Malaysia adalah negara paling teruk merosot matanya di kalangan negara terbabit dalam ujian bagi kedua-dua subjek matematik dan sains: mata matematik merosot 79 mata dari pada 519 pada 1999 kepada 440 pada 2011; mata sains pula merosot 66 mata daripada 492 pada 1999 kepada 426 mata pada 2011.

Hampir 38 peratus pelajar Malaysia tidak mencapai tahap penanda aras minimum bagi matematik dan sains pada 2011. Jumlah itu hampir dua kali lebih banyak sejak 2007 dan lima kali lebih tinggi daripada 1999.

Muhyiddin tidak pernah memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa negara ini sedang berdepan krisis keyakinan yang parah berkenaan standard pendidikan kita.

Muhyiddin juga membiarkan rakyat Malaysia, khususnya golongan 40 peratus termiskin percaya bahawa sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia dan akan menjadi lebih baik setelah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan melonjakkan negara ke tangga sepertiga teratas di dunia dalam tempoh 13 tahun.

Sehingga kini, walaupun pencapaian negara dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 adalah buruk, Muhyiddin masih enggan berterus-terang dan mengakui bahawa matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk mendaki ke tangga sepertiga teratas dalam TIMSS dan PISA adalah tidak realistik, tidak tercapai dan satu utopia.

Bila agaknya Muhyiddin akan berterus-terang kepada rakyat bahawa Malaysia berdepan krisis kemerosotan mutu pendidikan sejak sedekad lalu seperti yang ditonjolkan menerusi TIMSS 2011 dan PISA 2012 serta berhenti menghasilkan “ilusi” dan “delusi” pendidikan agar rakyat Malaysia tahu keadaan sebenar betapa sistem pendidikan Malaysia perlu mengambil masa lebih lama untuk mencapai taraf dunia.

Katanya, sudah tiba masanya untuk Muhyiddin tampil secara langsung di kaca TV dan membuat pengakuan mengenai kelemahannya dalam menangani masalah kemerosotan pendidikan negara.-Roketkini

Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah