Berita

PR, DAP janji agih tanah kepada rakyat asal Sabah – Kit Siang

KOTA MARUDU, 20 DISEMBER: Pakatan Rakyat (PR) jika diberi peluang oleh pemimpin Sabah dan memerintah Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang berjanji akan melaksanakan dasar mengagihkan tanah kepada rakyat asal Sabah yang tidak mempunyai tanah.

Selain itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, kerajaan PR dan DAP akan membanteras penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan sebahagian besar tanah rakyat asal Sabah dirampas mereka yang berkuasa untuk diberi kepada kroni mereka.

Katanya, PR jika diberi peluang memerintah Sabah memberi jaminan tidak akan mengabaikan kepentingan dan hak rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sebagaimana yang dilakukan di Pulau Pinang dan Selangor yang memerintah negeri itu dengan cekap, amanah dan tidak rasuah.

“Yang paling penting, kerajaan PR yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang berjaya membantu semua rakyat miskin dan kurang upaya di negeri itu. DAP juga berikrar kepada penduduk Kampung Samparita Laut dan rakyat Sabah, tidak akan mengabaikan aspirasi dan keperluan rakyat yang menderita.

“Impian Sabah membuktikan DAP bukan sahaja pandai cakap, kami akan buat dengan bersungguh-sungguh. Kami akan tunaikan janji kami. Wakil rakyat DAP juga berjanji untuk mendesak kerajaan BN negeri dan pusat untuk membantu orang kampung di sini,” katanya ketika merasmikan projek pertama Impian Sabah di Kampung Samparita Laut, di sini, petang semalam.

Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP berkata, Kampung Samparita Laut mencipta sejarah kerana ini adalah projek pertama Impian Sabah  dilancarkan DAP untuk membantu menaiktaraf kehidupan rakyat di kawasan pendalaman Sabah yang masih hidup tanpa kemudahan infrastruktur dan keperluan asas seperti elektrik, air dan lain-lain.

Beliau berkata, Impian Sabah berhasrat mengumpul Dana daripada rakyat Malaysia, terutamanya dari Semenanjung Malaysia untuk mengusahakan projek yang diperlukan rakyat di pedalaman Sabah yang akan diusahakan sukarelawan melaksanakan projek air paip graviti

“Bukan saja Kampung Samparita Laut, malah rakyat lain di pedalaman Sabah juga menghadapi masalah tiada bekalan elektrik, jambatan untuk menyeberang sungai, bot. Tanah orang kampung milik nenek-moyang juga dirampas. Semua masalah itu sepatutnya diselesaikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah 50 tahun memerintah bukan hanya tahu membuat janji tetapi tidak ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk Kampung Samparita Laut selama ini dipinggir kini dan bergantung kepada air hujan dan sungai, kini baru menikmati kemudahan air paip selepas 50 tahun Sabah menyertai Malaysia.

“Saya sudah beberapa kali melawat Batu Sumpah Keningau yang mencatat janji BN kepada rakyat Sabah. Tiga janji adalah asas kepada penggabungan Sabah dengan Malaya yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 yang mengetengahkan kebebasan beragama dalam Sabah, penguasaan tanah oleh kerajaan Sabah dan menghormati serta memulihara adat istiadat di negeri itu. Tetapi adakah sumpah yang dilakar di atas Batu Sumpah Keningau ini sudah ditunaikan?

“Yang paling penting tanah milik penduduk Kampung Samparita Laut sejak nenek moyang mereka dirampas oleh syarikat kayu balak. Ini jelas satu pencabulan melampau, memeranjatkan dan benar-benar satu jenayah terhadap perjanjian “tanah” pada Batu Sumpah Keningau. Peminggiran, kemiskinan dan keterbelakangan sosio-ekonomi tidak sepatutnya berlaku di negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak,” tambahnya.

Menurut Kit Siang, ketika ini mungkin ramai penduduk Kampung Samparita, tidak mengenali DAP yang ditubuhkan sejak 1966 dan kini merupakan parti pembangkang yang paling besar di Malaysia dengan 38 Ahli Parlimen dan 103 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, DAP bekerjasama dengan PKR dan PAS dalam PR untuk menentang BN dan mendapat keyakinan semua rakyat di kawasan bandar di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Kami memberi jaminan bahawa DAP tidak akan mengabaikan kepentingan dan hak rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak. Rakyat semua bandar di Malaysia memilih DAP dan PR kerana rasuah dan penyelewengan yang dilakukan BN kerana mereka yakin DAP dan PR yang memerintah Pulau Pinang dan Selangor sudah membuktikan pemerintahannya tidak rasuah, cekap dan beramanah.

“DAP tidak akan mengabaikan aspirasi dan keperluan rakyat yang menderita. Impian Sabah membuktikan DAP bukan sahaja pandai cakap. Kami akan buat dengan bersungguh-sungguh. Kami akan menunaikan janji-janji kami. Wakil rakyat DAP berjanji akan mendesak kerajaan BN negeri dan pusat untuk membantu orang kampung di sini.

“Akhirnya, Impian Sabah bermatlamat menjatuhkan kerajaan BN yang tamak, rasuah dan menyeleweng dan berharap penduduk akan berjuang bersama untuk membawa perubahan kepada Malaysia.-Roketkini.com