Berita

Malaysia milik rakyat, bukan milik UMNO/BN – Kasthuri Patto

KLANG, 30 DISEMBER: DAP mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Wanita UMNO Kuantan, Datuk Zaiton Mat yang meminta individu tidak berpuas hati dengan kerajaan meninggalkan Malaysia.

Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, kenyataan kurang cerdik itu jelas menunjukkan bahawa Zaiton buta hati dengan propaganda partinya sendiri.

“Malaysia ini milik semua rakyat yang berbilang kaum, agama dan etnik, ia bukan milik parti UMNO/BN.

“Siapa yang beri hak kepada pemimpin UMNO untuk menyuruh rakyat yang tidak suka dengan polisi kerajaan supaya tinggalkan negara ini?

“Apakah Zaiton sudah menjadi buta hati dengan propaganda partinya sendiri. Inilah UMNO dan matlamatnya iaitu memfitnah dan melemparkan tohmahan terhadap sesiapa saja yang tidak bersependapat dengan ideologi kolot mereka,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Tegas Kasthuri, kesetiaan rakyat tidak harus diukur melalui perasaan cinta terhadap kerajaan tapi pada kedaulatan negara.

Beliau turut menyelar tuduhan Zaiton yang mendakwa tindakan sebilangan pihak memporak perandakan keamanan negara nyata tidak menghormati kebaikan yang diberi kerajaan selama ini

“Ini adalah kata-kata tipikal seorang yang dihambakan oleh UMNO-BN melalui idea lapuk dan regresif terhadap pembangunan negara ini.

“Saya ingin bertanya, bagaimana pula dengan laungan manifesto PRU-13 BN yang menjanjikan penambahbaikan kos sara hidup rakyat bersama pelekat Najib yang tersenyum lebar dengan ayat seperti ‘kami mendengar masalah anda mengenai kos sara hidup’?,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau juga mendesak Najib mengambil tindakan terhadap pimpinan UMNO termasuk Zaiton yang melemparkan kenyataan demikian dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat.-Roketkini.com