Rencana

Dari mata rentaku: hadiah daripada Roket – Oleh Edwin Bosi

SAMPARITA dikenali atas sebab yang salah. Kampung itu adalah tempat asal gadis bernama Norikoh Saliwa, yang dibunuh kejam dan dibuang di tepi sebatang jalan di Kota Marudu pada 25 November 2012.

Bagaimana saya dapat melupakan tragedi itu kerana tarikh itu adalah hari lahir saya? Norikoh yang hanya berusia 16 tahun pergi ke pekan untuk mencari kerja sementara di sebuah kedai perabot dan seorang lelaki Pakistan kini didakwa membunuhnya dan nasibnya akan ditentukan tidak lama lagi apabila kes itu disebut di Mahkamah Tinggi.

Ini adalah kes berprofil tinggi kerana membabitkan gadis tempatan dan warga asing.

Sebagai Setiausaha DAP Sabah, saya meluangkan masa melawat ibu bapa dan keluarga mangsa di Kampung Samparita untuk medengar kisah mereka (bukan sekadar mendapat tahu daripada media) dan untuk menyampaikan takziah serta sedikit sumbangan.

Ibu bapa Norikoh adalah rakyat biasa yang bersikap rendah diri, dengan rumah yang sangat sederhana dilengkapi keperluan paling asas. Norikoh sebaliknya punya harapan tinggi untuk mengubahnya. Beliau menyambung pelajaran di Kota Kinabalu dan memiliki masa depan yang cerah untuk dirinya, juga untuk mengubah nasib keluarga daripada keadaan sedia ada.

Kemudian insiden tragis pun berlaku dan kini kita hanya boleh berharap agar keadilan berpihak kepadanya. Ini adalah kes bunuh yang mesti mendapat keadilannya.

Apabila DAP Malaysia memperkenalkan program “Impian Malaysia” dan kemudian disusuli dengan “Impian Sarawak” dan “Impian Sabah”.
Saya sedikit terkejut selepas dimaklumkan program pertama Impian Sabah akan diadakan di Kampung Samparita Laut. Nama “Samparita” mengingatkan saya dan membawa saya kembali ketika kumpulan saya menziarah ibu bapa Norikoh.

Apabila saya membaca akhbar tempatan sekembalinya dari Kuala Lumpur, saya mendapat tahu bahawa kes itu akan disebut beberapa minggu lagi.

Seramai kira-kira 22 sukarelawan terbabit menyelesaikan kerja memasang sistem paip graviti sepanjang tiga kilometer di Kampung Samparita Laut dan sekurang-kurangnya 13 keluarga mendapat manfaat air bersih yang tidak terawat, namun yang terbaik untuk komuniti itu.

Impian Sabah memberi mereka sistem paip graviti yang memenuhi secukupnya keperluan air penduduk kampung. Ia adalah hadiah hari Krismas daripada Roket.

Kini, sudah lebih 350 sukarelawan berdaftar dengan Impian Malaysia dan mereka datang daripada segenap lapisan masyarakat, daripada pelajar sehingga eksekutif.

Buat masa ini, majoriti sukarelawan adalah dari Semenanjung Malaysia. Ini secara asasnya adalah semangat sebenar Impian Malaysia, yang diilhamkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di mana warga Semenanjung bukan sahaja bersuara dan bersimpati dengan tahap pembangunan dan kemajuan di Sabah dan Sarawak, bahkan datang membantu mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kampung Samparita Laut letaknya kira-kira 23.5 kilometer daripada Kota Marudu. Ia mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba di kampung itu melalui jalan darat dan pacuan empat roda diperlukan kerana beberapa kawasan tidak dapat dilalui menggunakan kenderaan biasa. Saya juga lihat tiang elektrik yang dipasang di situ juga tergesa-gesa.

Saya meluangkan masa melawat kampung itu bersama Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto sehari sebelum projek sistem paip graviti itu dilancarkan Lim Kit Siang pada 20 Disember lalu.

Saya kagum dengan semangat ketua projek, Kar Lye dan Lilian serta sukarelawan lain yang tidak kisah tidur di lantai tanpa tilam dan tanpa kelambu.

Saya juga kagum melihat bagaimana mereka membawa diri walaupun kekurangan mandi serta kemudahan tandas. Saya lihat sebahagian mereka yang kakinya menjadi mangsa gigitan serangga, sementara seorang dijangkiti malaria.

Namun, ketika pelancaran, mereka dapat menunjukkan sikap ceria dan semangat tinggi dengan ketawa, teruja, serta menyanyi dan menari bersama-sama penduduk kampung.

Kemuncaknya adalah ketika Lim Kit Siang membuka paip dan air mula keluar perlahan daripada paip. Tugas dilaksana dengan baik dan penduduk merasa sangat gembira.

Kit Siang tentunya berharap yang wishlist yang ditulis anak-anak kampung pada papan kertas juga dapat dipenuhi, antaranya adalah jalan raya yang baik, bot berenjin, rumah yang selesa, jambatan, bekalan elektrik dan pelajaran yang baik.

Di sebalik bendera DAP yang berkibar di serata kampung, saya masih tertanya-tanya sama ada majoriti penduduk tahu bahawa DAP berjaya membekalkan sistem paip graviti itu kepada mereka!

Namun, saya pasti DAP berjaya meninggalkan kesan kepada penduduk, apabila seorang ketua mereka memberitahu Kit Siang yang mereka ingin membuka cawangan DAP di sana.

Ketika saya tiba di Kampung Samparita Laut, fikiran saya kembali teringat ketika saat melawat datuk dan nenek di Kampung Kiranau, Penampang, pada pertengahan 1960an. Rumah dibina daripada balak dan ada yang masih diperbuat daripada buluh. Rumah datuk dan nenek adalah daripada balak berlantaikan buluh dan saya masih ingat gigitan pijat. Pijat itu kemudiannya hilang, sebaik sahaja penyembur serangga menjadi komersial.

Di sini, saya melihat batang balak yang dilohongkan menjadi sampan atau bot mereka. Ia kelihatan cukup kecil dan kekok, menunjukkan balak bersaiz kecil yang dijumpai di kawasan itu. Ketika air surut, sungai direntasi dengan bot, ada seorang atau kadang-kadang dua orang akan duduk di hujung untuk memegang dan mengemudikan bot.

Saya perasan banyak pokok buluh di sepanjang sungai dan agak mengejutkan apabila mereka tidak berminat membuat rakit yang dapat membantu mereka merentasi sungai dengan lebih efisien.

Apa yang diperlukan hanya tali dan wayar kabel yang bagus untuk mendapatkan sebuah rakit yang berfungsi. Itulah “feri” datuk dan nenek saya untuk merentasi sungai Moyog suatu ketika dulu.

Penduduk Kampung Samparita Laut adalah warga sederhana dan kebanyakannya adalah penganut Kristian denominasi Sidang Injil Borneo (SIB), yang tinggal di kampung seluas lima ekar di atas kaki sebuah bukit.

Mereka mula tinggal di sini pada tahun 60-an dan memohon tanah, namun seperti banyak lagi rakan pribumi mereka di serata Sabah, permohonan mereka tidak pernah ditunaikan.

Kemudian mereka menerima kejutan apabila ada syarikat memulakan kerja pembalakan dan menanam kelapa sawit di bahagian utara, berhampiran kampung mereka.

Menurut penduduk, syarikat itu juga meratakan kubur nenek moyang mereka serta mencemarkan sungai. Tiada rasa hormat langsung kepada tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Saya ada seorang pegawai khas yang menguruskan permohonan tanah NCR, dan dia akan kembali untuk membantu mereka dan bersedia untuk mengambil kembali tanah NCR mereka.

Penduduk di Samparita Laut menanam padi bukit, ubi kayu dan pokok getah untuk hidup. Buat masa ini, sungai masih membekalkan ikan kepada mereka.

Saya lihat banyak juga babi desa dan ayam berkeliaran bebas di kawasan kampung. Babi itu diberi makan ubi kayu dan kangkung. Saya perasan seorang wanita menyerpih ubi kayu untuk diberi kepada ayam ternakannya. Dengan babi, ayam, anjing dan kucing berkeliaran, apa sahaja yang boleh dimakan akan ditangkap apabila dilihat penduduk. Sungai dan hutan yang menjadi latar, sangat cantik. Kampung Samparita miliki potensi pelancongan yang besar.

Projek sistem paip graviti Impian Sabah bukan sahaja membekalkan air kepada mereka, tetapi sekurang-kurangnya selama 18 hari banyak aktiviti yang dibuat dengan penyertaan sukarelawan.

Saat terindah dan yang paling sukar dilupakan bagi penduduk kampung dan juga sukarelawan adalah kehadiran tokoh politik ikon, saudara Lim Kit Siang. Ketika permulaan projek, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ada di Kampung Samparita Laut untuk menandakan permulaan projek itu.

Tidak pernah berlaku sebelum ini sebuah kampung pedalaman seperti Samparita Laut melihat ramai pembuat dasar di kawasan mereka.

Tarikh 20 Disember 2013 akan tersemat dalam sejarah Kampung Samparita Laut, di mana empat Ahli Parlimen (Lim Kit Siang, Jimmy Wong, Stephen Wong dan Kasthuri Patto) dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Edwin Bosi, Chan Foong Hin dan Junz Wong) hadir menyaksikan pelancaran projek sistem paip graviti Impian Sabah. – Roketkini.com