Berita

KM Pulau Pinang layak guna dua kereta Mercedes-Benz tetapi guna satu: Pegawai Kewangan Negeri

GEORGE TOWN, 31 DISEMBER: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng walaupun layak menggunakan dua kereta Mercedes-Benz iaitu S400 dan S300, tetapi beliau hanya menggunakan sebuah kereta S300L yang dibeli dengan harga RM298,263.75 berbanding harga asal RM657,218.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, beliau diarahkan untuk mengumumkan butiran lanjut berkaitan pembelian kereta Mercedes-Benz S300L oleh kerajaan negeri untuk Ketua Menteri.

Katanya, sebelum ini, Ketua Menteri dan Ahli EXCO enggan membeli 15 kereta Mercedes kerana pembayaran cukai yang melebihi kos kereta, adalah terlalu tinggi dan pembekal kereta Mercedes Benz juga tidak berani mengeluarkan surat jaminan untuk mengambil balik semua kereta sekiranya pengecualian cukai tidak diperoleh.

Berikutan itu, beliau berkata, Ketua Menteri dan ahli EXCO memilih untuk membeli 15 kereta Toyota Camry 2.5 yang tidak dikenakan cukai dan sudah diserahkan kepada kerajaan negeri pada 31 Oktober lalu.

“Selepas pembelian kereta Toyota Camry, pihak pembekal kereta Mercedes mengesahkan pada 20 November 2013 untuk menawarkan sebuah kereta S300L dengan harga RM298,263.75 selepas dipotong cukai dan diberi diskaun khas RM100,000.

“Lagipun pembekal kereta Mercedes memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri tidak perlu membeli kereta itu dan boleh dikembalikan kepada pembekal sekiranya pengecualian cukai tidak diperoleh,” katanya.

Bagaimanapun, Mokhtar berkata, mesyuarat EXCO telah memutuskan secara sebulat suara untuk membeli kereta Mercedes S300L pada 20 November lalu kerana berdasarkan perbezaan besar di antara harga asal RM657,218 dengan harga diskaun RM298,263.75.

Menurutnya, ia dianggap berbaloi kerana kereta Mercedes memang bertahan lama sama seperti kereta Mercedes Benz S320L yang dipakai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang digunakan sejak dibeli pada 4 September 1995.

“Lagipun harga pembelian kereta lama Mercedes Benz S320L itu adalah RM271,331.22 pada 1995 iaitu harga 18 tahun dulu, yang tidak banyak beza dengan harga baru sekarang.

“Kereta Toyota Camry 2.5 yang kini digunakan Ketua Menteri akan diberikan kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ustaz Maktar Shapee,” tambahnya.-Roketkini.com