Berita

Kenaikan harga barang, Pemuda DAP Pulau Pinang cabar debat

BUKIT BENDERA, 3 JANUARI: Pemuda DAP Pulau Pinang hari ini mencabar Pemuda MCA untuk mengadakan debat berikutan tuduhan liar parti itu yang mendakwa pentadbiran negeri Pakatan Rakyat turut memperkenalkan kenaikan harga.

Timbalan Ketua Pemuda DAP Pulau Pinang, Chris Lee Chun Kit berkata, dakwaan itu tidak benar, malah kerajaan BN bukan sahaja telah menaikkan harga barang secara langsung yang memberi kesan kepada rakyat tapi turut mengakibatkan inflasi.

Menurutnya, kenaikan yuran perlesenan oleh PR hanya sekali setahun dan tidak sama dengan kenaikan harga barang yang mana akan lebih menambah bebanan rakyat apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kelak.

“Kerajaan negeri dibawah pentadbiran PR sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk kebajikan rakyat, tidak seperti BN.

“Terdapat perbezaan antara penetapan harga lesen baru kepada syarikat dan kenaikan harga yang secara langsung membebankan rakyat.

“Kami ingin bertanya apakah beliau merasakan mengenakan cukai terhadap rakyat adalah lebih baik daripada syarikat?,” soalnya dalam sidang media di Pusat Komuniti DAP Bukit Bendera.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera, Mohd Hariszuan Jaharudin.

Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Lee Beng Seng semalam telah menuduh kerajaan negeri PR mengenakan kenaikan lesen. Beliau mendakwa, yuran lesen komersial telah dinaikkan sebanyak 400 peratus oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Manakala, di Pulau Pinang beliau mendakwa kenaikan itu meliputi cadangan peningkatan bayaran parkir kereta.

Chris menambah, Kerajaan PR Pulau Pinang dan Selangor telah mengambil langkah-langkah untuk menyediakan air percuma dan Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang merupakan inisiatif struktur dan asas untuk membantu rakyat.

“Di Pulau Pinang, kerajaan juga telah mengambil langkah untuk mengurangkan inflasi harga hartanah dan peningkatan kadar bayaran parkir kereta merupakan salah satu cara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Tegasnya lagi, kerajaan BN bukan sahaja menyusahkan rakyat malah enggan bekerjasama dengan Pulau Pinang untuk meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam.

“Jika pengangkutan awam baik, rakyat tidak perlu bergantung kepada kenderaan persendirian dan ia akan mengurangkan masalah trafik serta menjadikan ia sebagai pilihan bukan keperluan,” katanya.

Bermula September lalu, kerajaan BN terpaksa memulakan langkah pengurangan kos agresif selepas tekanan memuncak untuk mengekang defisit bajet kronik sejak krisis kewangan Asia 1997 yang telah menyebabkan hutang negara dalam keadaan kritikal. – Roketkini.com