Berita

Sebar gambar palsu: PDRM mesti jelaskan, bukan setakat mohon maaf

KUALA LUMPUR, 3 JANUARI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan kesilapan serius polis memuat naik gambar di laman Facebook rasminya menunjukkan seorang lelaki cedera dan mengaitkannya dengan himpunan TURUN 31 Disember lalu.

Beliau berkata, di samping memohon maaf berhubung kesilapan itu, pihak polis perlu memberi penjelasan bagaimana ia boleh berlaku.

“Sememangnya wajar untuk polis meminta maaf. Kita merasa lega melihat sikap rendah diri Polis Diraja Malaysia (PDRM), walaupun tiada siapa tahu apakah polis akan mengaku dengan mudah jika ia tidak didedahkan di internet.

“(Namun) ia persoalan yang amat serius. Bagaimana kesilapan itu boleh berlaku? Siapa pegawai bertanggungjawab melakukannya, dan apa langkah untuk pastikan ia tidak akan berulang?” katanya dalam satu kenyataan.

Memetik laman The Malaysian Insider, polis sebelum ini menyiarkan gambar lelaki berdarah tidak berbaju bersama keterangan bahawa beliau adalah anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di Bukit Bintang selepas cedera diserang.

Walhal, lelaki dalam gambar itu, Mohd Zulhilmi Mustafar cedera ketika diserang pada 29 Disember, malah turut membuat laporan polis menafikan penglibatannya dalam himpunan Turun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menggesa polis agar menunjukkan rasa kesal mereka dengan menjadi lebih profesional ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat.

“Contohnya, polis tidak harus mengambil pendirian politik terhadap rakyat yang gunakan hak mereka memprotes dengan aman terhadap kenaikan harga dengan buat dakwaan tidak berasas bahawa ada rancang untuk ‘gulingkan kerajaan’,” katanya.

Katanya lagi, polis seharusnya memberi mengutamakan usaha membasmi jenayah, bukannya meghabiskan wang dan tenaga memburu ‘bayang’ seperti yang ditunjukkan kepada himpunan Turun pada malam tahun baru yang lalu. – Roketikini.com