Berita

Sekolah sudah mula, bumbung SJKT Gopeng masih tergantung

GOPENG, 3 JANUARI: Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar melahirkan kekesalannya berhubung tindakan pemaju yang tidak menyiapkan baik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil  (SJKT) Gopeng pada tarikh sepatutnya.

Beliau berkata, dengan musim persekolahan yang sudah bermula, kegagalan itu ternyata telah menimbulkan kebimbangan para ibu bapa.

Mengikut maklumat yang beliau perolehi, kerja baik pulih bumbung sekolah sepatutnya disiapkan pada 28 Disember tahun lalu, namun sehingga hari ini masih tidak disempurnakan.

“Kerja membaik pulih bahagian-bahagian yang rosak telah dimulakan pada hujung tahun lalu dan dijangka siap sebelum sesi persekolahan 2014 bermula, tetapi tidak dapat diselesaikan.

“Dalam lawatan kerja bersama ADUN Teja, Chang Lih Kang, saya mendapati pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih tidak menukar tiang-tiang yang rosak. Sementara itu ‘hanging ceiling’ yang dipasang juga merisaukan ibu-bapa kerana ia amat membahayakan keselamatan anak-anak mereka terutama jika sekolah terbabit dilanda ribut kencang.

“Kami akan menghubungi pihak JKR untuk mendapatkan maklum balas dan mendesak supaya tiang-tiang ditukar untuk keselamatan semua pihak serta memohon mereka mengkaji semula pemasangan ‘hanging ceiling’,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu turut menggesa kerajaan agar memandang serius permasalahan ini dan memenuhi segera permintaan ibu bapa kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan malah menjejaskan proses pembelajaran.

“Pihak PIBG dan rakyat Gopeng mahukan bangunan baru dua tingkat untuk sekolah itu. Permohonan telah dibuat tiga tahun lalu tetapi tidak ada sebarang respon positif dari kerajaan,” ujar beliau.

Pada 23 Disember 2011, Sivakumar dan Lih Kang telah membangkitkan isu bangunan sekolah SJKT Gopeng yang membahayakan keselamatan 250 orang pelajar, namun tidak ada respon dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Sejak dibuka 65 tahun lalu, sekolah terbabit tidak pernah dinaik taraf atau diperbaiki hingga mendedahkan pelajar dan guru dengan risiko kemalangan.

Lebih membimbangkan, siling dan dinding sekolah itu yang diperbuat daripada kayu telah dimakan anai-anai dan mereput. – Roketkini.com