Berita

DAP gesa Kerajaan UMNO-BN asingkan cukai judi, demi kemaslahatan masyarakat Islam

KUALA LUMPUR, 7 JANUARI: DAP hari ini mendesak Kerajaan UMNO-BN agar membuat pindaan terhadap tatacara kewangan dengan mengasingkan semua hasil cukai perjudian dalam akaun khas.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia harus dilakukan oleh Najib Razak selaku Menteri Kewangan untuk memastikan hasil cukai perjudian itu disalurkan kepada perbelanjaan tertentu yang tidak melibatkan masyarakat Islam.

“Pakatan Rakyat pernah mencadangkan di Parlimen supaya hasil cukai perjudian ini atau dikenali sebagai ‘sin tax’ diasingkan dalam satu akaun hasil khas untuk menjaga sensitivi rakyat beragama Islam.

“Hasil cukai perjudian ini sepatutnya disalurkan untuk tujuan peruntukan masyarakat bukan Islam seperti sekolah-sekolah vernakular, badan-badan kebudayaan, sosial dan lain-lain secara telus. Namun sehingga kini, langsung tidak ada ketelusan bagaimana hasil cukai perjudian disalur dan dibelanjakan,” tegasnya.

Kerajaan mahu rakyat berjudi demi perkukuh kewangan negara?

Ahli Parlimen DAP Seremban itu juga mendesak kerajaan supaya segera membatalkan semua permit tambahan Cabutan Khas (Special Draw) agar dapat membuktikan bahawa mereka tidak bergantung kepada aktiviti perjudian untuk menambah hasil cukai.

Menurutnya, tindakan kerajaan menambah permit itu jelas menunjukkan bahawa mereka sudah kehilangan punca hingga seakan sanggup menggalakkan rakyat berjudi.

“Apakah kerajaan sudah ketandusan ide untuk memperkukuh kewangan negara sehingga menggalakkan rakyat lebih banyak berjudi.

“Saya tidak melihat sebarang rasional untuk kerajaan meluluskan lebih banyak permit perjudian kepada syarikat nombor ramalan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Kerajaan baru-baru ini telah sekali lagi meluluskan tambahan permit kepada syarikat nombor ramalan (NFO) sebanyak 22 permit Cabutan Khas di Semenanjung Malaysia merangkumi Magnum, Damacai dan Sports Toto.

Menurut Anthony, pemberian itu juga menjadikan tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia untuk 2014.

“Kalau dijumlahkan sepanjang 2014, jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor ialah 178 hari bersamaan 52 minggu darab 3 hari dengan 22 hari cabutan khas. Ini amat keterlaluan.

“Secara puratanya, aktiviti perjudian cabutan nombor ekor ini adalah setiap 2 hari di negara ini. Apakah ini caranya Najib mentadbir untuk menambah hasil cukai negara?,” soalnya.

Berdasarkan jawapan bertulis Najib pada Anthony September 2013, jumlah kutipan cukai cabutan khas bagi tempoh Januari hingga Jun adalah RM70.8 juta.

“Ini bermaksud, anggaran cukai pertaruhan daripada tambahan cabutan khas pada tahun ini mencecah RM150 juta.

“Walaupun dilihat sebagai peningkatan hasil kepada kerajaan, tetapi kosnya kepada rakyat adalah lebih banyak wang akan hilang dalam perjudian, ia sekaligus meningkatkan kes sosial seperti hutang Ah Long dan kesan-kesan buruknya amatlah besar kepada masyarakat,” ujar Anthony. – Roketkini.com