Berita

Sudahkah Kabinet berhenti beri dana kepada Perkasa?

KUALA LUMPUR, 7 JANUARI: Rakyat Malaysia berhak tahu sama ada Kerajaan Persekutuan masih lagi terus menyalurkan dana kepada kumpulan ultra-Melayu rasis, PERKASA selepas ia didedahkan beberapa minggu lalu berbuat demikian.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menimbulkan persoalan ini dalam kenyataan medianya siang tadi sambil mendesak supaya ia dijawab sebaik sahaja mesyuarat Kabinet selesai esok.

“Pembayar cukai pastinya ingin tahu selepas mesyuarat Kabinet esok samada Kabinet telah mengeluarkan arahan supaya kesemua agensi kerajaan di peringkat Pusat atau Negeri yang ditadbir BN untuk berhenti menyalurkan dana kepada PERKASA,” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

“Adakah Najib atau mana-mana menteri kabinet menjawab soalan ini esok atau rakyat Malaysia harus menunggu sehingga bulan Mac apabila Parlimen bersidang untuk Pakatan Rakyat menyoal perkara ini untuk pengetahuan umum?” tambahnya.

Beliau turut mengulang soalannya sejak minggu lalu tentang pemberian dana kepada pertubuhan perkauman tersebut termasuk bila dan bagaimana pemberian dana secara rahsia kepada PERKASA ini dilakukan dan di bawah arahan siapa?

Menurut Kit Siang lagi kempen PERKASA yang jelas bertentangan dengan kempen 1Malaysia yang dianjurkan Najib Razak nampaknya agak berjaya.

“Sudah tujuh bulan sejak pilihanraya 5 Mei 2013, Najib masih belum mengucapkan apa-apa untuk mengulangi dasar-dasar 1Malaysianya di mana-mana platform awam,” ujar beliau, sambil menyifatkan kempen rasis PERKASA itu turut menerima sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya lagi gimik 1Malaysia diteruskan oleh Najib Razak dalam nama Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia tetapi Perdana Menteri mengelak sebarang rujukan terhadap objektif utama 1Malaysia yang bertujuan mengeratkan perpaduan kaum. – Roketkini.com