Berita

Penganut Sikh tidak terjejas dengan larangan penggunaan kalimah ‘Allah’

KUALA LUMPUR, 10 JANUARI: Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menegaskan penganut agama Sikh tidak terjejas dengan perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ kerana sudah diguna sekian lama dan tidak ada larangan ke atas mereka.

“Tidak ada larangan untuk penganut Sikh kerana ia memang tertera sebanyak 37 kali dalam kitab sucinya,” katanya merujuk titah Sultan Selangor yang melarang bukan Islam menggunakan perkataan ‘Allah’ di Selangor, memetik laporan The Malaysian Insider.

Pada November tahun lalu, Sultan menitahkan semua rakyat di negeri itu perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

Namun, ia menjadi perdebatan hangat apabila Editor Mingguan Katolik, Herald, Paderi Lawrence Andrew turut menyatakan akan tetap menggunakan perkataan ‘Allah’.

Kenyataan Lawrence itu berdasarkan Penyelesaian 10 Perkara pada 2011 yang diperakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan perkataan ‘Allah’ digunakan dalam Bahasa Melayu atau Indonesia, bahasa asli Sabah dan Sarawak di seluruh negara.

Majlis Gurdwara Malaysia, Oktober tahun lalu juga bertegas bahawa seramai 350,000 penganut Sikh akan tetap menggunakannya di dalam amalan agama mereka kerana sudah lama terkandung dalam kitab Grand Sahib dan sudah digunakan di seluruh dunia selama enam abad.

Karpal yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor turut mengulangi saranan supaya Mahkamah Persekutuan mendengar dan menerima rayuan Herald berhubung penggunaan kata nama itu.

“Keputusan mahkamah itu tentunya akan memberi kesan terhadap hak perlembagaan kepada orang bukan Islam,” ujarnya. -Roketkini.com