Berita

PR ajak BN bincang lerai ketegangan kaum

KUALA LUMPUR, 23 JANUARI: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengulangi pelawaan kepada Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan segera bagi menangani masalah ketegangan kaum yang tidak pernah selesai.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah kaum dilihat semakin serius kebelakangan ini dan terbaru ada sebilangan pihak tidak bertanggungjawab cuba membangkitkan semula soal tragedi 13 Mei di Pulau Pinang.

Menurutnya, isu ekonomi, kemiskinan dan kenaikan harga barang adalah masalah rakyat yang tidak harus diputarbelitkan sehingga kepada permasalahan kaum.

“Kami melihat isu kangkung diputarbelit dan dikaitkan dengan 13 Mei. Sebab itu kami menggesa kerajaan BN segera mengadakan perbincangan bersama bagi menanganinya.

“Perbincangan itu bukan sahaja mengenai masalah ekonomi tetapi soal perkauman agar bibit-bibit perpecahan atau ketegangan kaum dapat dileraikan dengan baik bagi menyelamatkan rakyat.

“Apa saja ketegangan dan pertelingkahan selalunya akan menjadikan rakyat sebagai mangsa. Jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu segera menyahut pelawaan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, hadir sama.

Menurut Kit Siang pula, jika BN benar-benar cintakan toleransi yang terjalin sekian lama, pelawaan PR tidak harus ditolak BN.

“Kami percaya dalam sejarah negara ini tidak pernah ada satu keadaan di mana sekelompok kumpulan tidak bertanggungjawab sanggup melakukan perkara bahaya seperti menghasut kebencian kaum dan agama.

“Apa yang kami lihat di Pulau Pinang baru-baru ini adalah mungkin hasutan peringkat kedua yang mengaitkan tragedi 13 Mei selepas perkara sama cuba ditimbulkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak ada sesiapa dalam PR dan Malaysia yang cintakan keharmonian, toleransi dan perpaduan mahu tragedi 13 Mei berulang. Keharmonian perlu dikekalkan dan BN harus berikan kerjasama,” ujarnya.

Beliau turut menyelar demonstrasi Pemuda UMNO/BN yang menghasut kebencian itu, walhal ia langsung tidak ada kena mengena dengan isu sebenar.

“Sekarang kita lihat siapa sebenarnya yang mengugut, memainkan isu dan cuba mencetuskan kebencian sesama rakyat berbilang bangsa? Ia adalah puak-puak daripada BN.

“Demonstrasi Pemuda UMNO jelas menggunakan ugutan 13 Mei,” tegasnya. -Roketkini.com