Berita

Laporan Human Rights Watch bukti Najib gagal tunai janji Malaysia ‘demokrasi terbaik dunia’

KUALA LUMPUR, 23 JANUARI: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, laporan terbaru Human Rights Watch (HRW) berhubung situasi hak asasi manusia di Malaysia membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menepati janjinya menjadikan Malaysia ‘demokrasi terbaik di dunia’.

Mengulas Laporan Dunia 2014 badan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch, 21 Januari lalu bahawa kerajaan Malaysia jauh terkebelakang dalam soal hak asasi manusia selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Najib mungkin sudah lupa ucapannya pada 11 September 2011 mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun rakyat masih ingat kenyataannya (pemansuhan itu) untuk jadikan Malaysia ‘demokrasi terbaik di dunia’.

“Namun pengunduran dalam soal hak asasi manusia membuktikan Najib gagal mengotakan janjinya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, pengunduran dan sikap membisu Najib dalam pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini, termasuk kontroversi kalimah ‘Allah’.

“Sikap membisu dan tidak berbuat apa-apa itu mewujudkan keraguan kepada reputasi dan komitmennya sebagai seorang yang ‘sederhana’,” katanya lagi.

Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson dalam satu laporan berkata, “Malaysia pada 2013 ditanda dengan kisah ‘talam dua muka Najib’ – menjanjikan reformasi undang-undang sebelum pilihan raya dan mengembalikan undang-undang menindas selepasnya”.

“Mari lihat sama ada Najib akan jawab laporan itu sepantas reaksinya berhubung serangan kangkung atau beliau akan terus diam seperti dalam isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pejabat Bible Society of Malaysia (BSM),” kata Teresa Kok.

Apa pun reaksi Najib, katanya, beliau tidak boleh lari daripada kebenaran laporan HRW itu.

“Hakikatnya Najib jauh mengundur ke belakang dalam soal hak asasi manusia. Jika beliau komited dengan ikrarnya, beliau tidak boleh undur daripada reformasi politik dan hak asasi, tanpa mengira tentangan dalaman yang diterima dalam partinya.

“Najib perlu buktikan keteguhan dan kesediannya sebagai ‘reformis’ sebenar atau beliau akan dikenang sejarah Perdana Menteri yang menjanjikan dan melakukan perubahan hanya untuk menang pilihan raya,” tambahnya.-Roketkini.com