Berita

Arah menteri jalani latihan media, satu lagi lawak jenaka Najib

IPOH, 27 JANUARI: Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran menegaskan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ahli Kabinetnya mengikuti latihan media merupakan satu lagi tindakan ‘lawak jenaka’ kerajaan.

Beliau berkata, arahan itu menunjukkan Najib mengakui kelemahan pimpinannya mendepani media dengan pelbagai kenyataan yang memalukan tanpa mengambil kira perasaan rakyat.

“Kali pertama dalam sejarah negara, menteri Kabinet diminta menjalani latihan media supaya boleh bercakap dengan bijaksana. Tindakan ini amat lucu dan menggelikan hati.

“Apakah arahan Najib hanya kerana menteri tidak tahu bagaimana bercakap dengan media. Pada saya, punca sebenarnya kenyataan yang menimbulkan kemarahan orang ramai keluar daripada mulut Menteri UMNO adalah kerana mereka tidak memahami masalah rakyat di bawah.

“Apabila seorang menteri tidak berhubung secara langsung, maka dia tidak akan memahami masalah, perasaan dan keperluan serta tidak boleh melihat isu daripada perspektif rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beberapa portal berita semalam melaporkan Najib mewajibkan latihan media kepada Menteri Kabinetnya untuk mengelak kenyataan kurang bijak yang menjadikan pentadbirannya berterusan menjadi bahan lawak jenaka orang ramai.

Menurut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu, sebagai bukti, terdapat dua contoh klasik yang menunjukkan dengan jelas betapa jauhnya Menteri UMNO dengan rakyat.

“Pertama, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang menyatakan rakyat perlu berhenti makan ayam jika harga terlalu tinggi dan menggunakan jalan alternatif kalau tidak mahu membayar tol.

“Contoh kedua adalah kesilapan bodoh kangkung oleh Najib sendiri. Beliau jelas tidak memahami tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga yang dihadapi rakyat.

“Apakah beliau berfikir rakyat akan makan kangkung setiap hari dan benar-benar mesti berterima kasih kepada kerajaan kerana menurunkan harganya sedangkan kos sara hidup makin meningkat?,” soalnya.

Kulasegaran juga mengingatkan Kerajaan BN jika latihan media itu tetap akan dijalankan, menteri perlu membayarnya menerusi wang poket sendiri bukan melalui duit cukai rakyat.

“Sejajar dengan langkah penjimatan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, mereka mesti membayarnya sendiri.

“Apabila menteri tidak pandai bercakap dengan bijaksana, mereka mesti belajar dan memperbaikinya tetapi itu adalah masalah peribadi. Rakyat tidak patut dipergunakan untuk membayar menteri agar dapat belajar bercakap dengan media,” ujarnya. -Roketkini.com