Berita

Paksa intip harga barang, UMNO terus jadikan polis sebagai ‘pak guard’

BUKIT MERTAJAM, 27 JANUARI: DAP kesal dengan tindakan kerajaan yang berterusan menjadikan polis sebagai ‘pak guard’ UMNO.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, tindakan terbaru Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Polis mengintip harga barang jelas tidak ada rasional dan menjatuhkan imej mereka.

“Tahun lalu, Ahmad Zahid mengarahkan polis menjadi ‘pak guard’ menjaga kertas dan peti undi pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Kini anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerah sebagai pengintip serta pemantau harga barang di pasaran.

“Ini jelas tersasar jauh daripada misi PDRM yang termaktub dalam Akta Polis 1967 Seksyen 3 (3) iaitu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekal keamanan, mencegah, mengesan jenayah, menangkap, mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.

“Imej, maruah dan profesionalisme anggota polis jelas semakin tergugat angkara tindakan menteri yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid baru-baru ini seperti dilaporkan portal berita The Malaysian Insider mengarahkan PDRM turun untuk menjalankan operasi intipan aktiviti kenaikan harga barang.

Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP Kebangsaan itu turut mengecam sikap kerajaan yang bukan saja gagal menjaga ekonomi, malah seolah-olah menggunakan strategi darurat ala-Nazi.

“Kerajaan UMNO/BN gagal sama sekali mentadbir ekonomi dengan baik menyebabkan hutang negara melampau tinggi, pendapatan terbantut, kos sara hidup meningkat dan budaya rasuah pula tidak dapat ditangani.

“Kini, mereka seakan-akan menggunakan taktik ekonomi perang rejim Nazi untuk mengawal harga barang.

“Adakah rancangan menggunakan PDRM memantau harga barang merupakan satu permulaan kepada ekonomi kawalan ala-Nazi atau komunis di zaman Perang Dingin?

Tegas beliau, tindakan sedemikian jelas bukannya strategi ekonomi bijak dan adil oleh kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat.

“Langkah kerajaan hanya akan memberi tekanan perniagaan terutama peniaga kecil manakala syarikat besar yang memonopoli perkhidmatan serta barangan seperti pembekalan tenaga elektrik bebas (IPP), penerbangan, tol, gula, gas, sistem perbankan, TV satelit dan lainnya terus bebas mengaut keuntungan,” ujarnya. -Roketkini.com