Berita

Khubah Jumaat sebar kebencian, JAKIM cabar usaha ke arah keharmonian? -Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 FEBRUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang melahirkan kekesalannya terhadap beberapa khutbah Jumaat baru-baru ini yang dilihat sebagai sengaja meniup sentimen persengketaan agama.

Beliau berkata, kandungan teks khutbah terbabit yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ternyata amat bertentangan dengan nada positif kerajaan BN untuk menerima tawaran PR agar perbincangan Konsensus Nasional diadakan.

“Saya tertanya-tanya, apakah JAKIM telah menggubal khutbah Jumaat sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu?

“Kerana mesyuarat Kabinet hari Rabu itu adalah menyokong inisiatif PR untuk menamatkan politik permusuhan, kebencian dan hasutan sengketa kaum.

“JAKIM wajar memberikan sokongan penuh dan tidak mencabar atau mempersoalkan kuasa serta keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Jemaah Menterinya ke arah perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu turut menyatakan, mesej yang disampaikan melalui khutbah terbabit bukan saja bertentangan malah tidak menghormati keharmonian dan usaha untuk menyelesaikan barah ketegangan kaum.

“Tidak ada cara lebih baik untuk PR dan BN selain mengadakan Konsensus untuk mengakhiri hasutan sentimen kaum dan agama.

“Konflik dan ketegangan perlu dihentikan serta memulakan persefahaman yang tulen antara agama, keharmonian dan toleransi supaya Malaysia dipandang dunia sebagai ‘tanah keamanan dan keharmonian’,” ujarnya.

Dalam teks khutbah keluaran agensi kerajaan itu, JAKIM mendakwa umat Islam kini telah ditipu oleh ‘musuh-musuh Islam’ iaitu Kristian dan Yahudi dengan berkembangnya aktivisme hak asasi manusia di Malaysia.

JAKIM turut mengulangi bahawa tuntutan ke atas kata ‘Allah’ adalah satu usaha untuk merampas perkataan Arab itu dengan tujuan mengeliru dan menukar Islam kepada Kristian.

Berikutan berkembangan pergeseran melibatkan kaum dan agama yang boleh mengakibatkan berulangnya tragedi 13 Mei 1969, PR telah berulang kali mempelawa BN untuk mengadakan perbincangan agar masalah itu diselesaikan segera. – Roketkini.com