Berita

Dasar ‘malas’ BN punca kadar pengangguran meningkat

KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa masalah pengangguran berpunca daripada sikap ‘malas’ rakyat.

Beliau berkata, kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana punca utamanya adalah dasar pekerja yang lemah serta tindakan Kerajaan BN menggalakkan penggunaan buruh asing.

Menurutnya, dasar BN itu juga secara tidak langsung mengakibatkan pembentukan sebuah pasaran kerja yang sedikit kepada warga tempatan.

“Tuduhan itu bukan saja tidak adil, malah tidak betul sama sekali. Pemimpin BN perlu sedar bahawa kadar pengangguran meningkat bukan kerana rakyat malas.

“Puncanya adalah dasar ‘malas’ BN menjadikan rakyat terpaksa bekerja dengan gaji dan produktivi rendah terutama untuk kerja berkaitan 3D iaitu ‘difficult, dirty and dangerous’,” katanya dalam kenyataan, semalam

Ahli Parlimen Bagan itu juga menegaskan, dasar ‘malas’ BN turut gagal membawa kepada gaji, produktivi dan persekitaran serta keadaan kerja lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Bagaimana rakyat dapat berbangga dengan kerja mereka jika bayaran diperoleh sangat rendah dan diletak pada tahap sama dengan pekerja asing tidak mahir?,” tegasnya.

Sebagai perbandingan, Guan Eng berkata, DAP juga bercadang untuk menaikkan gaji bulanan minimum RM1,100 kepada rakyat dengan tempoh penangguhan selama lima tahun untuk perusahaan kecil dan sederhana.

“Kerajaan BN sepatutnya mengakui kesalahan sendiri akibat kegagalan sistem sendiri dan bukannya menyalahkan rakyat.

“Adakah menganggur kini menjadi satu kesalahan Kerajaan BN? Ahmad Maslan wajib memohon maaf kepada rakyat,” ujarnya.

Khamis lalu, Ahmad Maslan menuding jari dengan menyatakan peningkatan kadar pengangguran adalah disebabkan perangai malas rakyat yang menolak peluang pekerjaan.

Beliau juga menuduh kemasukan ramai pekerja asing juga adalah berpunca daripada pengangguran. -Roketkini.com