Berita

ROS baru ajak DAP bincang selepas sekian lama membisu

KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI: Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggelabah apabila tiba-tiba sahaja mengajak DAP berbincang selepas sekian lama mendiamkan diri sebaik sahaja DAP memfailkan saman di mahkamah dua minggu lalu.

DAP mengambil keputusan memfailkan saman terhadap ROS setelah jabatan itu sekian lama ROS berdiam diri dan enggan memberi kerjasama baik serta tidak mengiktiraf pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo memberitahu wartawan di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP hari ini, bahawa DAP bersedia bertemu ROS, namun tindakan mahkamah terhadap badan itu tetap diteruskan.

Pada 22 Januari lalu, DAP memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan ROS enggan mengiktiraf pemilihan semula CEC pada Kongres Khas 29 September tahun lalu.

Menurut notis permohonan dan afidavit yang dibekalkan kepada wartawan, permohonan perintah certiorari dimohon bagi membatalkan keputusan ROS yang enggan mengiktiraf CEC yang baru yang tidak memiliki asas undang-undang.

DAP juga memohon suatu deklarasi bahawa keputusan itu adalah tidak sah dan terbatal.

ROS pada 6 Disember 2013 mengeluarkan surat mengarahkan CEC yang baru sahaja dipilih tidak membuat sebarang keputusan bagi pihak parti sehinggalah ROS menerima dokumen tertentu serta selesai menjalankan siasatan.

Pada 24 Disember tahun lalu, ROS mengakui penerimaan surat daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan dengan jelas bahawa laporan yang diserahkan parti kepada ROS adalah mengikut format yang sama seperti tahun sebelumnya dan tidak wajar disifatkan sebagai terlalu ringkas.

Guan Eng turut menuntut ROS menjelaskan peruntukan undang-undang yang digunapakai ROS sehingga enggan mengiktiraf pemilihan semua CEC, namun ROS kekal membisu.

Menurut Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong, ROS tidak mempunyai kuasa untuk enggan mengiktiraf CEC DAP mengikut Akta Pertubuhan.

“Itu sebabnya kenapa kami menghantar surat kepada ROS supaya menjelaskan peruntukan undang-undang digunakan. Bagaimanapun ROS hanya membisu, sama ada benar wujud aduan atau tidak wujud sebarang aduan pun kita tidak tahu,” ujar beliau.

Gobind berkata, DAP juga mendakwa wujudnya mala fide dalam tindakan yang diambil ROS, memandangkan tidak ada sebarang butiran aduan lantas menafikan hak DAP untuk menjawab sebarang tuduhan.

“DAP mengulangi pendirian bahawa ia sentiasa dan bersedia membantu dalam apa bentuk siasatan ROS selagi ia berpatutan dan menepati peruntukan undang-undang,” kata Gobind. – Roketkini.com