Berita

Sentuhan ‘Impian Sarawak’ kian terasa, rakyat bersyukur

SEMATAN, 4 FEBRUARI: Usaha DAP melalui projek Impian Sarawak terus menggembirakan mereka yang mendapat manfaat daripada projek terbabit, terutamanya ketika musim perayaan.

Borneo Post melaporkan (http://www.theborneopost.com/2014/02/04/ibu-tunggal-chow-choon-kee-gembira-dapat-rumah-baharu/) kegembiraan ibu tunggal, Chow Choon Kee menyambut Tahun Baru Cina kali ini di rumah baru yang dibina atas ihsan DAP Tasik Biru melalui inisiatif Impian Sarawak.

Selama enam tahun ibu tunggal berusia 48 tahun dari Kampung Perigi itu menderita dan tidak menyangka akan memiliki sebuah rumah yang begitu sempurna sehinggalah hadir pasukan Impian Sarawak bersama-sama Pengerusi DAP Tasik Biru, Mordi Bimol.

Menurut Mordi, rumah asas dua bilik seluas 20×30 kaki persegi dibina untuk keluarga Chow itu hanya menelan kos kurang daripada RM15,000 hasil sumbangan orang ramai.

Penduduk tempatan bersama 12 sukarelawan Impian Sarawak bekerjasama selama dua minggu bagi menyiapkan rumah berkenaan.

“Projek Bantuan Rumah (PBR) sebegini seharusnya datang daripada pihak kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” ujar Mordi.

“Tetapi terlalu banyak aduan diterima di mana keluarga yang layak, gagal menerima PBR.

“Dalam erti kata lain ada golongan lain yang lebih diutamakan dan didahulukan,” kata beliau.

Dalam perkembangan serupa, penduduk Kampung Sait Mok Ayun dekat Kuching turut bergembira dengan hasil inisiatif Impian Sarawak membina empangan mini bagi menghasilkan sistem perpaipan air menggunakan graviti di kampung itu.

borneopost2

Projek yang dijalankan pada September tahun lalu kini memberi faedah yang amat besar memandangkan sudah tiba musim kemarau di kawasan perkampungan terbabit.

Penduduk kampung itu yang dikenali sebagai Johari dalam perkongsian di laman sosial Facebook memberitahu bahawa sudah dua minggu tidak hujan di Kampung Mok Ayun namun bekalan air paip masih mencukupi.

“Kalau dulu sebelum projek Impian Sarawak, sudah kering air paip. Terima kasih Impian Sarawak dan DAP,” ujarnya. – Roketkini.com