Berita

Guan Eng cabar Muhyiddin tidak naikkan tol sehingga PRU-14

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI: DAP mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa tidak akan menaikkan tol lebuhraya sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, cabaran itu untuk BN membuktikan bahawa keputusan mereka menangguhkan kenaikan tol tidak didorong oleh Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

“Tindakan kerajaan ini merupakan satu taktik oportunis yang jelas bertujuan untuk cuba memenangi hati dan undi di Kajang. Bolehkah Muhyiddin memberi jaminan bahawa tidak akan ada kenaikan sehingga PRU-14 nanti?

“Pengumuman Muhyiddin untuk menangguhkan kenaikan tol hanya untuk tahun ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan sebanyak RM400 juta kepada syarikat konsesi tol.

“Muhyiddin menjawap kritikan saya dengan mendakwa ia tidak ada kena mengena dengan PRK Kajang, tapi keputusan BN itu tidak menyakinkan sama sekali apabila beliau enggan menyatakan bahawa tidak ada kenaikan bagi tahun depan dan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Muhyiddin baru-baru ini mengumumkan penangguhan kenaikan tol untuk 14 lebuhraya terdiri daripada Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Terowong Smart, Lebuhraya Sutera Kajang, Damansara-Puchong Expressway (LDP), Kajang-Seremban (Lekas), Senai-Desaru Expressway (SDE), Lebuhraya Shah Alam-Kuang (Guthrie Corridor), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan lain-lain.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan menegaskan, penangguhan itu turut tidak membawa kesan positif kepada orang ramai terutama pengguna tol yang masih perlu membayar kepada syarikat konsesi secara tidak langsung daripada penggunaan cukai rakyat oleh BN.

“Jelas BN lebih menghargai kepentingan beberapa kroni daripada 28 juta rakyat. Rakyat juga tidak lagi percaya janji manis BN apabila mereka gagal menunaikan Manifesto PRU-13 untuk mengurangkan kadar tol dalam bandar.

“Malah lebih menyedihkan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dengan lantang mengatakan sesiapa yang tidak bersetuju dengan kenaikan tol boleh menggunakan jalan raya ‘alternatif’,” kesalnya. -Roketkini.com