Berita

Peguam Negara perlu ajar Zahid undang-undang – Gobind

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI: Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo meminta agar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengajar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi undang-undang negara, khususnya mengenai peruntukan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan.

Gobind berkata, ini kerana Zahid dengan jelas keliru dan tidak faham mengenainya.

Beliau mengulas kenyataan Zahid bahawa tindakan sekumpulan NGO yang menawarkan wang kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bukan satu ancaman dan tidak perlu disiasat.

“Seksyen 503 menyatakan sesiapa yang mengugut orang lain dengan (ancaman) kecederaan melakukan intimidasi jenayah.

“Mengikut Seksyen 506 kanun berkenaan, sesiapa yang melakukan intimidasi jenayah boleh disabitkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, dan dalam kes ancaman yang menyebabkan cedera parah, penjara boleh dikenakan sehingga tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ugutan untuk menampar seseorang jelas mengikut peruntukan seksyen itu.

Pada 6 Februari lalu, gabungan yang menggelarkan diri mereka Majlis Gabungan NGO Islam Malaysia menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang menampar Teresa dan merakamnya, berikutan isu video satira politik ‘One-derful Malaysia’.

Zahid juga dilaporkan berkata, ancaman itu adalah antara kumpulan NGO itu dan Teresa, dan polis hanya akan menyiasat jika perbuatan menampar berlaku.

“Itu mengarut. Undang-undang tidak perlu menunggu serangan berlaku sebelum tindakan diambil. Ugutan itu sudah memadai,” kata Ahli Parlimen Puchong itu lagi.

Sehubungan itu, katanya, Gani sebagai Pendakwa Raya perlu memberi keyakinan ketika saat kelemahan jelas kerajaan untuk bertindak ke atas ancaman keganasan terbuka seperti itu.

“Harap beliau dapat membetulkan Zahid dengan segera. Jangan beliau pula yang terpengaruh dengan Zahid,” katanya sinis.

Katanya lagi, Gani juga perlu mengarahkan siasatan penuh berhubung isu itu dan mendakwa sesiapa yang bertanggungjawab secepat mungkin. – Roketkini.com