Berita

Wartawan akui laporan dakwaan pertemuan rahsia Guan Eng dan PAP sebabkan kesetiaan kepada negara dipertikai

KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI: Wartawan Berita Harian, Mohd Azis Ngah mengakui laporan akhbar itu mengenai dakwaan Lim Guan Eng membocorkan rahsia negara kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 2011 menyebabkan rakyat mempertikai kesetiaan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada negara.

Mohd Azis, 38, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Americk Singh Sidhu yang mewakili Guan Eng dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga mengakui laporan itu tidak seimbang kerana tidak menghubungi Guan Eng serta ahli perniagaan, Datuk Mohamad Azman Yahya dan Datuk Seri Kalimullah Hassan untuk mengesahkan dakwaan berkenaan.

Americk: Setuju atau tidak, anda tidak cuba menghubungi Kalimullah, Azman dan Guan Eng sebelum artikel itu disiarkan?

Mohd Azis: Setuju.

Americk: Jadi, anda setuju bahawa laporan itu tidak mungkin seimbang?

Mohd Azis: Setuju.

Americk: Secara keseluruhannya, anda setuju intipati artikel itu adalah mengenai Guan Eng makan malam bersama pemimpin kanan PAP dan dedahkan rahsia negara?

Mohd Azis: Setuju.

Americk: Oleh itu, (ia menyebabkan) kesetiaan Guan Eng (kepada negara) dipertikai?

Mohd Azis: Setuju.

Pada 2 Oktober 2011, akhbar Berita Minggu, New Strait Times dan Mingguan Malaysia menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim bahawa Guan Eng membocorkan rahsia negara pada satu majlis makan malam yang disertai Kalimullah, Mohd Azman dan beberapa pemimpin kanan PAP.

Setiausaha Agung DAP itu kemudiannya memfailkan saman fitnah RM15 juta dan menamakan Ruslan, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd, bekas Pengarang Kumpulan New Sunday Times, Syed Nadzri Syed Harun, Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Mingguan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan.

Guan Eng dalam kenyataan tuntutannya menyifatkan kenyataan itu berniat jahat untuk merosakkan imejnya, agar BN dapat merampas kembali Pulau Pinang pada PRU lalu.

Beliau juga menafikan berjumpa dan makan malam secara rahsia dengan pemimpin PAP di Singapura dan penafian itu disahkan Kalimullah dan Mohd Azman. -Roketkini.com