Berita

Fitnah perisik Singapura: Guan Eng heret Utusan, NST dan Perkasa ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tetap setia kepada negara dan tidak akan sekali-kali membocorkan rahsia negara seperti yang difitnah pihak yang diheret ke mahkamah.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau menegaskan bahawa fitnah yang mengatakan beliau seorang perisik Singapura dan pengkhianat memberi kesan amat buruk kepada dirinya.

Guan Eng menafi soalan peguam Perkasa kononnya tuduhan yang disiarkan defendan dalam kes saman fitnah itu tidak memberi kesan buruk malah menambahkan popularitinya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengheret Perkasa bersama enam lagi defendan termasuk New Straits Times Press (M) Sdn Bhd dan Utusan Melayu (M) Bhd ke mahkamah kerana memfitnah kononnya beliau membocorkan rahsia negara kepada kerajaan Singapura dalam suatu pertemuan di negara jiran itu pada Ogos 2011.

Guan Eng turut menjelaskan bahawa beliau bukan seorang menteri kerajaan pusat dan tidak mempunyai akses kepada sebarang ‘rahsia negara’.

Tuduhan yang dibuat Ruslan Kassim daripada Perkasa yang kemudian disiarkan New Sunday Times dan Mingguan Malaysia kononnya Guan Eng menemui pemimpin PAP Singapura bersama Datuk Mohamad Azman Yahya dan Datuk Seri Kalimullah Hassan juga telah dinafikan oleh kedua-dua ahli perniagaan terbabit.

Beliau dalam keterangannya juga menambah bahawa Ruslan adalah seorang ahli UMNO, manakala News Straits Times dan Utusan Malaysia juga dimiliki oleh UMNO.

Menurutnya lagi, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Abdul Aziz Ishak telah membuat kenyataan di mahkamah sebelum ini bahawa Utusan Malaysia dimiliki oleh UMNO, oleh itu ia tidak memberi laporan politik yang adil malah mempromosi aspirasi parti kerajaan.

Saman fitnah itu Guan Eng menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta itu dan perbicaraan di hadapan Hakim Noor Bee Ariffin akan disambung esok. – Roketkini.com