Berita

Iktiraf kedudukan Ketua Pembangkang DUN Johor

MUAR, 18 FEBRUARI: Pakatan Rakyat (PR) Negeri Johor sebulat suara meminta Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor mengiktiraf secara rasmi jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) sesuai dengan semangat demokrasi tulen dan matang.

PR Johor dalam mesyuaratnya semalam menyifatkan sudah tiba masanya kedudukan dan peranan Ketua Pembangkang DUN itu diiktiraf bagi memastikan keberkesanan tugas pembangkang.

Menurut Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang mempengerusikan mesyuarat itu, langkah itu dianggap selaras dengan desakan PR Pusat yang menuntut hak yang sama di Dewan Rakyat untuk mengiktiraf Ketua Pembangkang di Parlimen.

Malah, menurutnya lagi, langkah awal yang dibuat kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan Selangor adalah contoh terbaik amalan demokrasi di DUN.

“Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan kematangan demokrasi, mengapa tidak Johor?” soal beliau.

Mesyuarat itu diwakili tujuh pemimpin setiap parti iaitu PAS, DAP dan PKR yang diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri Johor merangkap ADUN Parit Yaani, Aminulhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong; dan Chua.

Dalam kenyataan yang sama, Chin Tong turut menjelaskan bahawa desakan itu akan dapat memastikan Ketua Pembangkang dapat dibekalkan dengan pelbagai sumber yang diperlukan bagi memainkan peranan yang terbaik dan cekap.

“Permintaan kita adalah supaya Ketua Pembangkang mendapat segala bentuk sokongan baik daripada aspek peruntukan kewangan, kakitangan pentadbiran dan dokumen sokongan.

“Ini untuk memastikan kualiti mesyuarat dan perbahasan dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi,” ujar beliau kepada pihak media.

Chin Tong turut menambah bahawa kerajaan negeri juga didesak menyalurkan peruntukan kepada semua kawasan DUN termasuk DUN yang dimenangi parti oposisi sebagai satu bentuk layanan yang adil dan menghormati sistem demokrasi.

Aminulhuda juga berkata, jika kerajaan negeri mempunyai Ketua Eksekutifnya yang mendapat segala sokongan sumber, seharusnya Ketua Pembangkang juga mendapat layanan yang sama.

Beliau turut meminta kerajaan negeri menimbangkan saranan sesi perbahasan pada persidangan DUN ditambah atau dipanjangkan supaya perbahasan kedua pihak dapat dijalankan dalam tempoh masa yang mencukupi.

Majlis Sekretariat PR Negeri

Mesyuarat PR Negeri Johor juga membentuk Majlis Sekretariat negeri yang baru yang akan dipengerusikan Yang Dipertua PAS Kawasan Gelang Patah, Dzulkifly Ahmad bersama-sama dua lagi Setiausaha DAP dan PKR negeri.

Jui Meng turut mengumumkan PR negeri akan bermesyuarat setiap tiga bulan dan dilakukan secara bergilir-gilir oleh tiga parti komponen PR dan mengumumkan pembentukan biro PR negeri bagi memantapkan lagi gerak kerja PR di negeri itu.

Pada PRU-13 lalu, PR Johor mencatat sejarah apabila mencatat kejayaan begitu memberansangkan dengan menawan 18 kerusi DUN (13 DAP, 4 PAS dan 1 PKR) serta lima kerusi Parlimen (4 DAP dan 1 PKR). – Roketkini.com