Berita

Bentuk skuad khas untuk bertindak terhadap media sosial mengapikan kaum, agama – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, intimidasi terkini terhadap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok Suh Sim berkaitan video “Onederful Malaysia CNY 2014” perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

Katanya, polis perlu bertindak mengikut Seksyen 124A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun terhadap sesiapa yang “cuba mempengaruhi dengan cara kekerasan” seorang Ahli Parlimen daripada menggunakan kuasanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan skuad khas dibentuk membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis, wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat untuk mengambil tindakan terhadap media sosial yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan.

Malam kelmarin, Utusan Malaysia menghantar SMS menyatakan “Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ditampar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas ceramah di Permatang Pauh, kira-kira jam 11.30 malam.

Bagaimanapun, akhbar harian UMNO itu kemudian membuat pembetulan dengan menyebut bahawa Teresa tidak ditampar,sebaliknya “diberikan” telur busuk oleh seorang lelaki dan telur itu pecah ketika mereka bersalaman.

Insiden itu berlaku selepas Teresa memberi penjelasan mengenai video “Onederful Malaysia CNY 2014” kepada kira-kira 300 pendengar di Permatang Pauh, Pulau Pinang, bahawa video itu tidak anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja, atau anti-pasukan keselamatan, apabila seorang lelaki berusia kira-kira 30-an menghampiri Teresa ketika sedang duduk.

Lelaki terbabit mahu bersalaman dengan Teresa dan ketika bersalaman, Teresa menyedari lelaki itu sedang memegang telur dan dipecahkan hingga mengotorkan tangan dan terpercik ke pakaiannya.

“Saya juga mengalu-alukan dua perkembangan terbaru menunjukkan polis dan pihak berkuasa mengambil sikap lebih serius dan bertanggungjawab terhadap peningkatan jenayah, kebencian dan perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang bertujuan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat majmuk.

“Polis menyarankan tuduhan melakukan intimidasi jenayah dikenakan terhadap dua lelaki yang menawarkan ganjaran tunai kepada sesiapa yang berjaya mengemukakan foto menampar Teresa Kok, walaupun kertas siasatan polis belum dikembalikan Pejabat Peguam Negara kepada polis untuk tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan.

Hal itu didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng yang menyatakan polis akan mengemukakan semula kertas siasatan itu kepada pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan meminta penjelasan di Parlimen minggu depan sama ada pejabat Peguam Negara telah bertindak untuk mendakwa “Majlis NGO islam” yang melakukan beberapa kesalahan dalam tunjuk perasaan “tampar dan ayam” di Kuala Lumpur, bukan saja menawarkan ganjaran kepada yang sanggup menampar Teresa, malah turut menyembelih dan melumur darah ayam ke atas gambar pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat, selain menggertak dengan 13 Mei.

Selain itu, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, SKMM mengesahkan bahawa ia telah melancarkan siasatan bersama polis Kedah terhadap sebuah blog yang menyebarkan dakwaan palsu tentang Muslim murtad.

Blog Kedah itu juga mencemarkan wanita dalam gambar berkenaan iaitu Zaiton Ismail, aktivis pertubuhan Islam Ikram Malaysia, menimbulkan keaiban beliau dan keluarga apabila tersebar berita palsu bahawa dia sudah memeluk Kristian.

Ketua Sayap Wanita Ikram, Prof Madya Dr Roohaida Othman mengingatkan blogger terbabit bahawa fitnah adalah perbuatan berdosa di sisi Allah dan dianggap lebih buruk daripada membunuh orang tidak berdosa.

Parlimen menjangkakan tindakan segera dan pantas dari MCMC dan polis terhadap pembohong siber berkenaan yang terlalu lama dibiarkan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab, berbahaya, dan khianat di media sosial dengan tidak henti-henti menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan sehingga mengancam keamanan

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membentangkan Kertas Putih kepada Parlimen minggu depan untuk memperincikan tindakan yang diambil kerajaan untuk menyelamatkan Malaysia daripada rencana jahat pihak yang anti negara.

“Saya sendiri baru saja menjadi mangsa pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk meniup api perkauman dan keagamaan di Malaysia dan semalam saya menghantar pesanan tweeter semalam.

“Pesanan itu saya hantar setelah cybertrooper UMNO menuduh saya mengeluarkan ungkapan anti-Islam sedangkan ia tidak pernah berlaku. Satu petikan yang kononnya dari saya telah digambarkan sebagai bahan publisiti Pakatan Rakyat dan dimuatkan dengan logo DAP, PKR, dan PAS, serta logo “Ubah”,” katanya.

Beliau berkata, bilakah pihak berkuasa akan mencegah penjaja kebencian, khususnya di media sosial daripada terus meniup api perkauman dan keagamaan?

“Saya setuju tindakan undang-undang diambil terhadap penyokong Pakatan Rakyat jika mereka menyebarkan fitnah dan pembohongan untuk menyalakan api perkauman dan keagamaan.

“Perdana Menteri, Kabinet, dan pemimpin Barisan Nasional akan bersetuju tindakan undqng-undang diambil terhadap cybertrooper BN yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan menerusi fitnah dan pembohongan?

“Nasihat Najib baru-baru ini untuk “mengabaikan” penghasut dan pelampau adalah respons paling tidak bertanggungjawab dalam keadaan kerajaan sepatutnya tidak berbelah bagi dalam menghapuskan penghasut dan pelampau terbabit,” tambahnya.

Bagi mengatasi masalah penyebaran fitnah dan pembohongaan itu, Kit Siang meminta satu pasukan khas di peringkat tinggi dibentuk untuk membersihkan media sosial daripada perbuatan meniup api perkauman menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan.-Roketkini.com