Rencana

MH370, doa kami tiada putus

SUDAH masuk lebih 48 jam sejak berita kehilangan pesawat MH370. Terlalu banyak perkhabaran yang tidak tepat selain teori konspirasi dilontarkan ke sana ke mari. Tiada satu pun daripadanya yang meredakan resah ahli keluarga anak kapal dan penumpang pesawat terbabit.

Turut dikesalkan ialah tindakan sesetengah pihak yang gagal menyusun keutamaan, serta masih tegar mempolitikkan tragedi yang begitu menyayat hati ini. Bukan setakat bermain politik dengan keresahan negara, ada juga pihak tidak berhati perut yang menggunakan peluang tragedi itu untuk menimbulkan pelbagai fitnah terhadap musuh politik masing-masing.

Pekerjaan yang begitu bodoh ini harus segera dihentikan. Seandainya kita tiada kata-kata yang lunak untuk diungkapkan, adalah lebih baik sahaja kita diam.

Malang sekali dalam negara ini masih wujud puak berhati batu yang antaranya dengan perasaan tidak bersalah memfitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (sekali lagi) kononnya beliau menuturkan dakwaan yang tidak masuk akal dan tidak pula boleh dibuktikan oleh pemfitnah itu.

Spekulasi dan kata-kata yang merepek tidak akan membantu untuk membawa pulang pesawat terbabit serta penumpangnya dengan selamat.

Fitnah dan permainan politik di waktu begini tidak akan memberi hasil. Kita harus tahu di mana seharusnya kita berikan tumpuan dan fokus supaya kita tidak kelihatan bodoh dan oportunis.

Di saat negara dilanda tragedi, dengan lebih dua ratus nyawa menjadi taruhan; semua orang seharusnya merapatkan barisan dan menenangkan satu sama lain, bukannya meneruskan perbalahan sambil mengenepikan kesengsaraan yang ditanggung ahli keluarga mangsa berkenaan.

Kini waktu dan ketikanya untuk diam, bertafakur sejenak dan mengenangkan betapa beratnya hati ahli keluarga yang menantikan apa sahaja khabar berita.

MH370, di mana jua kalian berada, doa kami tiada putus. – Roketkini.com