Berita

Guan Eng pertikai cara penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang secara misteri mengikut tender terhad menimbulkan pertikaian terutama mengenai kepentingan awam, kebertanggungjawaban dan ketelusan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam soalan bertulisnya meminta Perdana Menteri menyatakan status Pelabuhan Pulau Pinang yang tidak mengumumkan mengenai pengambilan operasi oleh Johor Seaport Terminal pada Januari lalu, termasuk kos, tempoh dan jumlah pelaburan serta syarat, selain menyegerakan projek mengorek dasar laut kepada 15 meter sebanyak RM353 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dalam jawapan bertulisnya menyatakan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd diakui sebagai pembida yang berjaya dalam cadangan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang melalui pemilikan ekuiti yang dibuat secara tender terhad.

Menurut Abdul Wahid, rundingan mengenai terma perjanjian sudah dimuktamadkan dalam perjanjian tambahan penswastaan yang ditandatangani pada 23 November 2013.

Katanya, obligasi syarikat adalah melaksanakan tanggungjawab sosialnya menyediakan kemudahan pengangkutan feri yang membabitkan kos yang besar dan syarikat terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM16 juta setiap tahun.

Selain itu, Abdul Wahid memberitahu, syarikat juga perlu mengambil alih beban hutang PPSB melebihi RM1.2 bilion dan kos mengorek dasar laut.

“Melainkan pengumuman penuh dibuat Kementerian Pengangkutan, penswastaan ini akan dilihat sebagai satu lagi tindakan ‘menyamun’ harta rakyat sebagaimana yang dilakukan syarikat konsesi tol lebuhraya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di Komtar, hari ini.

Beliau berkata, keengganan Kementerian Pengangkutan menjelaskan bagaimana penswastaan ini memanfaatkan kepentingan awam jelas memperlihatkan keangkuhan, kerahsiaan dan salah urus yang merangkumi mitos BN yang penuh dengan pilih kasih, politik naungan dan konspirasi.-Roketkini.com