Berita

Kit Siang setuju ‘cadangan’ cybertrooper BN tubuh RCI 13 Mei

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang setuju dengan ‘cadangan’ cybertrooper Barisan Nasional (BN) agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden 13 Mei 1969.

Selepas usulnya penubuhan RCI bagi tragedi Memali, beliau diserang hebat cybertrooper BN di laman twitter sama ada bersetuju dengan RCI untuk insiden 13 Mei, berikutan tuduhan jahat BN selama ini bahawa beliau terbabit mencetuskannya.

Walhal, beliau sendiri mencadangkan perkara itu kepada kerajaan 45 tahun lalu, sebaik sahaja ia berlalu.

“Ya, saya setuju sepenuhnya RCI bagi menyiasat insiden 13 Mei. Itulah pendirian saya sejak 45 tahun lalu, dalam surat saya kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ketika ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ucapan pertama saya di Parlimen pada Februari 1971.

“Persoalannya sama ada cybertrooper dan ahli politik BN berani untuk tekan kerajaan secara terbuka mengenai penubuhan itu,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Katanya lagi, beliau pasti akan memberi sokongan penuh jika ada Ahli Parlimen BN yang membawa usul itu ke Parlimen.

Untuk beberapa dekad, BN menuduh DAP dan Lim Kit Siang sebagai pencetus peristiwa hitam itu, khususnya bagi menakutkan orang Melayu untuk menyokong parti itu.

Sedangkan beliau tidak pernah sekali pun didakwa di mahkamah di atas tuduhan itu. Beliau juga tiada di Kuala Lumpur ketika ia berlaku, sebaliknya berkempen di Kota Kinabalu bagi seorang calon bebas.

Dalam siri twitnya semalam, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan serangan cybertrooper BN sebagai menghina kerajaan dan pihak berkuasa sebelum ini, kerana sehingga kini gagal memastikan peranannya dalam insiden 13 Me 1969.

“Mereka tidak sedar yang mereka menghina lima Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, serta barisan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

“Bukan itu sahaja, mereka juga menghina polis, terutama Ketua Polis Negara dan Cawangan Khas (SB) sebagai tidak cekap, kerana selepas 45 tahun masih tidak tahu ‘peranan’ saya dalam insiden 13 Mei.

“Dengan ‘rakan’ seperti ini, BN tidak perlukan musuh. Saya cuma kesal untuk Malaysia kerana adanya politik rendah sebegini,” katanya lagi. – Roketkini.com